Sean harap ada tuah bersama UiTM FC

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pemain tengah Kuala Lumpur City (KL City) FC, Sean Gan Giannelli berharap ada sinar baharu untuknya mendapat lebih minit permainan selepas dipinjamkan ke UiTM FC sehingga tamat saingan Liga Super musim ini.

Bekas pemain Johor Darul Ta’zim II (JDT II) itu hanya beberapa kali sahaja diturunkan sebagai pemain gantian dan paling lama beraksi hanya untuk 22 minit baki perlawanan sahaja ketika KL City menentang UiTM FC, sebelum ini.

Mengakui persaingan yang cukup sengit untuknya mendapat tempat dalam pasukan KL City, Sean merasakan keputusan dipinjamkan ke skuad kendalian Frank Bernhardt sebagai langkah tepat bagi merebut peluang membuktikan kemampuannya di atas padang.

“Saya percaya peluang untuk kerap beraksi lebih cerah sekiranya saya bermain dengan UiTM FC. Dengan saingan liga masih berbaki sembilan perlawanan, saya tidak mahu terlepas peluang ini.

“Saya ada mendapat beberapa tawaran juga daripada pasukan Liga Perdana, tetapi saya merasakan UiTM FC lebih sesuai untuk saya cuba sinar baharu dan bantu mereka pada musim ini.

“Saya rasa UiTM FC perlukan sesuatu yang lebih segar dan baharu untuk mereka menghabiskan baki perlawanan dengan keputusan lebih positif,” katanya.

Ini adalah musim kedua Sean bersama Kuala Lumpur sebelum dipinjamkan ke UiTM FC yang mana kontraknya akan berakhir pada penghujung musim ini.

Selain itu, Sean berkata, sasaran peribadi semestinya untuk melakar sesuatu untuk terus menarik minat pasukan lain mendapatkan khidmatnya selepas ini.

“Saya tidak terlalu memikirkan untuk menjaringkan gol atau mengira berapa banyak saya dapat melakukan hantaran, tetapi saya lebih ingin fokus untuk membina balik keyakinan diri dan juga memperbaiki tahap kecergasan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.