Sebabak Kita

KITA duduk di warung kopi itu pada suatu petang. Anak mata kita bertaut. Namun begitu, aku dikalahkan oleh sifat semula jadiku – malu. Kuserongkan tubuhku sedikit, mencari titik selesa lalu pura-pura menyelak buku di tangan.

Kulayangkan perhatian kepada Mazlan yang duduk selang tiga meja daripada kita. Beria-ia benar adik bongsuku itu mengajakku keluar. Katanya, motosikalnya rosak dan aku harus segera menghantarnya – tidak boleh terlepas janji temu penting. Oh, rupa-rupanya ini permainan kamu berdua!

“Saya kawan Mazlan,” engkau memulakan bicara. Suaramu bergetar namun lancar. Aku mengangguk tanpa sebarang nada.

“Maria mungkin tak ingat saya, tapi saya tak pernah lupa akan Maria,” engkau memicu perbualan. Kauhirup perlahan kopi panas yang baru sampai.

Sebelum itu, aku menolak apabila engkau mengajak minum, “Pahit,” alasanku. Lalu kaubalas, “Hidup ini seperti mencicip kopi. Ada pahit, ada manis. Apabila diadun bersama, kita lupa semuanya kecuali aromanya yang wangi.”

Engkau mula mengundurkan masa. Engkau heret aku bersama-sama. Katamu, kali pertama engkau melihatku ketika aku diundang berucap di sekolah. Ketika itu engkau di tingkatan tiga. Ucapanku yang berkobar-kobar memancing tumpuanmu. Siri kejayaanku yang dikongsikan pada layar skrin membuntangkan matamu. Engkau terinspirasi, lalu aku kaujadikan idola.

Kemudian engkau seret aku ke babak lain. Katamu, ketika itu engkau kerap bertandang ke rumahku. Engkau dan Lan belajar bersama-sama di atas pangkin di bawah pokok sukun. Suatu hari, engkau meminta izin untuk menggunakan bilik air. Engkau masuk ke dalam rumah dan terdengar suara orang mengaji. Engkau berdiri lama di ruang tamu. Engkau kata itu kali pertama engkau mendengar suaraku, yang kaukata merdu (aku malu!).

Aneh, bagaimanakah engkau dapat mengingati setiap satu situasi begitu terperinci.

Engkau selak pula lembaran berikutnya dalam lipatan memori. Engkau buka halaman hari penting dalam hidup seorang pelajar sekolah. Hari keputusan peperiksaan SPM diumumkan. Katamu, engkau suka melihat senyumku yang kembang meraikan kejayaan Lan. Engkau tumpang gembira meskipun keputusan peperiksaan engkau biasa-biasa sahaja. Engkau kata, pesanku yang satu itu kauingat sampai bila-bila; “Maria pernah kata manusia yang berputus asa akan selama-lamanya gagal.”

Aku cuba membenamkan pandangan ke dalam anak matamu yang berwarna coklat. Sinar jujur memancar.

“Kalau sudi, hujung minggu depan saya nak ajak Maria ke satu tempat.”

Pertemuan singkat petang itu pun berakhir. Engkau hantar aku dengan pandangan penuh harap. Engkau kata, engkau akan menungguku di sana. Kauhulurkan kertas kecil yang tercatat alamat. Oh, pemanduan pulang terasa jauh.

Kupijak lantai rumah berhati-hati. Mak sedang nyenyak tidur di sofa. Kurenung wajah mak dari jauh. Aku tahu, harapan mak tetap menyala walaupun tidak pernah memaksaku.

“Bila anak engkau nak kahwin? Nak masuk 40, tak timang cuculah nampaknya.”

“Kereta ada, kerja bagus, duit banyak, nak tunggu apa lagi?”

Mak tenang menggantung senyum di bibir. Ratib emak, “Insya-Allah, ada jodoh, sampailah masanya nanti.”

Tidak kusalahkan cakap-cakap orang tentangku. Tentu sahaja mereka mengambil berat kerana bimbang.

Tidak juga kusalahkan Tuhan. Melayari hidup tanpa ayah sebagai nakhoda mencorakkan takdirku. Dengan ilmu, aku melawan kemiskinan demi mak dan dua adikku. Aku berusaha mengangkat taraf hidup kami hingga aku terlupa tentang diriku sendiri.

Bukan aku memilih-milih. Bukan.

Aku teringatkan engkau yang berwajah polos, menabur benih harap. Pada usia ini, aku tidak mahu lagi bermain-main soal hati. Jiwaku rasanya sudah terlalu rapuh untuk dipatah-patahkan.

Dua tahun yang lepas dalam kesibukan pengajian, saban minggu, aku menerima e-mel pendek daripada seorang pengirim tidak bernama. E-mel itu tidak pernah kubalas. Bukan aku tidak mahu. Aku terlalu disibukkan oleh perjuangan di medan ilmu.

“Rasulullah SAW pernah bersabda: Sesiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah mudahkan baginya jalan menuju ke syurga. Maka itu, Maria jangan susah hati. Perjuangan ini akan terbayar suatu hari nanti. Saya mengirimkan doa agar perjalanan Maria dipermudahkan.” Dan, banyak lagi e-mel seumpamanya.

Aku jadi bersemangat menyudahkan pengajian. Aku ingin sekali bertemu dengan pengirim e-mel itu, mengucapkan terima kasih, juga memanjangkan hubungan. Lalu pada hari aku dinobatkan sebagai penyandang gelar doktor falsafah, kubalas e-mel tahniah yang kuterima. Kutunggu dengan gelojak rasa yang pelbagai. Sebulan, dua bulan, setahun, hingga hari ini tiada e-mel lagi.

Kukira itulah kesudahan bagi kisah yang baru hendak bermula. Aku tidak tahu bagaimanakah mahu mencari si pengirim e-mel itu. Ah, andai aku tahu pun, aku terlalu malu untuk menjadi perigi yang mencari timba. Sudahnya, aku kembali larut dalam kesibukan baharu, kerjayaku. Kulempar segala rasa ke dalam lautan kecewa. Kutimbus segala harap yang ada. Pintu hatiku kuselak, kupateri, dan kulempar kuncinya jauh-jauh.

Begitulah. Aku bukan memilih, tapi terpilih menggalas ujian ini.

Ah, esok harinya, tanggal 15 Oktober!

Sehari sebelum temu janji kedua kita (pertemuan pertama yang tak dirancang itu kumasukkan dalam kalendar sebagai temu janji pertama), aku seperti laut yang bergelora. Ketenanganku berkocak sakan. Akal dan hatiku bertelingkah. Tidak sukar untuk aku memahami maksud tersiratmu. Pertemuan pertama itu bukan suka-suka.

Namun antara engkau dengan aku, terlalu luas jurangnya. Usia kita berjarak 15 tahun; bukan 15 hari, bukan 15 bulan. Engkau masih muda teruna sedang aku anak dara lanjut usia.

Sekiranya aku menerima undanganmu, bermakna aku menanam benih harapan. Setelah itu, mampukah kita bajai harapan ini sehingga menguntum mekar? Sekiranya aku berundur, aku seperti menyembur racun di perdu harapan mak. Sanggupkah aku mencantas tunas yang baru hendak bercambah? Oh, Tuhan …

Ah, ada seperkara lagi yang jauh lebih penting. Pegangan kepercayaan engkau dan aku. Perbezaan yang satu ini tidak mungkin menyatukan kita. Seperti langit dengan bumi. Aku dipagut keliru. Malam itu entah bila, aku terlelap dalam ketidakpastian.

Mendepani hari, kuberi peluang kepada takdir. Kuyakinkan diri. Langkah kuatur perlahan. Pintu pagar rumah teres dua tingkat itu berkeriuk ditolak. Seorang wanita India ramah menyambutku. Dia memperkenalkan diri sebagai Mariam. Aku teruja kerana kami memiliki nama yang hampir serupa.

Aku diminta menunggu di sebuah meja batu di tepi rimbunan pohon buluh cina. Silauan cahaya matahari menyebabkan aku mengalih tempat duduk membelakangi rumah. Kuramas-ramas jari tanpa sedar. Kurangka soalan dan jawapan, bersedia andai perkara itu menjadi topik perbualan.

“Maria …!”

Aku mengenali suara itu. Kupandang wajahmu. Sukar kutafsir senyum yang terpamer. Sukar lagi kutafsir rasa di hatiku.

“Terima kasih sudi datang. Kehadiran Maria memberi makna yang besar buat saya,” tuturmu tenang.

Kusambut gelas yang engkau hulurkan. Kuteguk bagi menghilangkan debar. Kucapai muruku lalu menguyah perlahan.

“Saya sudah ingat. Awak Saravanan, pelajar paling nakal di SMK Sik. Lan dan awak pernah dirotan kerana mencalarkan kereta cikgu, kan?”

Sebaris gigimu yang putih menyerlah di balik tawa.

“Itu dahulu. Sekarang Ashraf dah berubah,” tawamu mengendur, namun bibirmu masih mengulas senyum. Aku termangu. Engkau lalu bercerita, inilah rumah keduamu. Di sini, engkau bersama-sama yang lain membantu mualaf India.

“Sejak bila?”

“Baru dua tahun. Jom!” engkau mengajakku masuk. Aku diperkenalkan dengan ustaz dan ustazah di situ. Puan Mariam memberitahuku bahawa engkau penyumbang dana terbesar pusat ini. Siang engkau usahawan, malam pula guru mengaji untuk anak-anak. Engkau juga sedang melengkapkan hafalan juzuk ke-25.

Ashraf, engkau sudah melakukan sesuatu yang besar dalam hidupmu. Aku kagum! Engkau berjiwa kental. Kita menghabiskan masa seharian di situ. Aku terus mendaftar sebagai sukarelawan. Seperti yang engkau cadangkan, aku bersetuju untuk membantu pelajar dewasa mengenali al-Quran.

Petang itu, sebelum pulang kita duduk di meja batu itu sekali lagi. Anak-anak berkejar-kejaran di laman. Tawa mereka memecah suasana. Kali ini aku tidak mampu bertentang mata lagi denganmu, biarpun untuk sesaat. Aku malu, engkau lelaki hebat.

“Maria ….”

Kuulit hujung tudung dengan jari. Resah menjalar ke seluruh urat nadi.

“Saya berhasrat menjadikan awak suri hidup. Menyempurnakan sebahagian iman. Melengkapkan hidup seorang lelaki,” akhirnya engkau melafazkan perkara yang paling kutakutkan.

“Dalam masa tujuh hari ini? Secepat itu kauputuskan untuk memilihku?” aku lontarkan soalan itu kepadamu.

Aku terfikir, barangkali engkau jatuh kasihan. Lalu engkau terburu-buru melamar anak dara lanjut usia ini.

Beberapa tahun yang lalu, ketika adik perempuanku ke jenjang pelamin, akulah yang paling sibuk menguruskan majlis. Aku sememangnya tidak kisah meskipun aku tahu banyak orang bercakap-cakap tentang kami. Aku perempuan tak laku. Adikku langkah bendul. Aku faham, jodoh rahsia Tuhan.

Aku mengatur kata dan cuba menolak dengan baik. Aku kata, engkau tidak perlu memusnahkan kemudaanmu dengan menikahiku. Engkau berhak memiliki yang lebih sepadan. Apatah lagi, tempoh perkenalan sesingkat tujuh hari, sejak pertemuan di warung kopi itu tidak memadai.

Engkau balas dengan kata, pertemuan di warung kopi minggu lepas bukan pencetusnya. Engkau sudah lama menyukaiku, sejak di bangku sekolah lagi. Namun begitu, ketika itu engkau faham, hubungan seperti itu tidak akan ke mana-mana. Lalu engkau bulatkan tekad, engkau pijakkan kaki ke universiti. Di situ, engkau genggam ijazah dan bertemu nur Islam. Kemudian lewat Lan, engkau menjejakiku setelah mempersiap diri. Rupa-rupanya engkaulah pengirim e-mel tanpa nama itu.

“Lalu kenapa tidak dibalas?” kulontarkan pancing jauh ke tengah hatimu. Merobek isinya.

“Masa itu saya baru syahadah,” tenang engkau menjawab.

Aku diam. Lama.

“Saya faham kalau kita tidak sekufu,” engkau pula menarik tali.

“Jumpalah mak,” kubuka jalan. Seluas-luasnya.

Hari-hari selepas itu berlalu dengan indah. Kita berdua menyulam impian memiliki keluarga bahagia. Engkau nampak segak sekali pada hari pernikahan kita. Orang memuji rupa parasmu yang persis pelakon terkenal, Vijay. Aku tersenyum mengiyakan. Kalaulah mereka tahu bahawa hatimu jauh lebih indah.

Masa terus berlalu. Orang pun sudah lama berhenti bercakap tentangku.

Petang ini pada hari ulang tahun lamaranmu, kusinggah ke sini lagi. Kusarungkan kurung satin kegemaranmu. Pada setiap tahun, pada tarikh yang sama, aku memakainya ke sini. Engkau pernah berkata aku kelihatan ayu sekali apabila menggayakannya. Masakan tidak, inilah baju nikah yang kita pilih bersama-sama 15 tahun lalu.

Di satu sudut kecil di warung kopi itu, aku duduk menikmati kopi panas. Sebahagian ruang warung kopi ini telah diubah suai menjadi perpustakaan. Koleksi milikmu kuabadikan di sini, biar manfaatnya mengalir. Benarlah katamu, kopi dan buku pasangan paling secocok. Kusedut kepulan aroma wangi perlahan-lahan. Hatiku jadi rindu. Babak-babak kita kembali terlayar. Ke mana sahaja kutala pandangan, wajahmu terpantul di mana-mana.

Usai menikmati kopi dan kenangan, aku menziarahi pusaramu. Seperti selalu, anak-anak tidak ingkar menemani.

“Abang, al-Fatihah ini untukmu.”

– Pengarang muda berasal dari Kedah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.