Sedia garis panduan standard perisian kegunaan awam

Oleh Dr Shamsul Arrieya Ariffin

[email protected]

Pusingan kedua pendaftaran vaksin COVID-19 AstraZeneca, Rabu lalu, mendapat maklum balas negatif mengenai pengalaman mengunakannya.

Ada yang dapat mendaftarkan selepas berhempas-pulas bersama pelbagai perkakasan seperti komputer riba dan telefon pintar untuk mendapatkan temu janji.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, sudah memohon maaf terhadap kesulitan itu dan akan memperkenalkan modul pemilihan vaksin untuk rakyat pada fasa pembangunan MySejahtera akan datang.

Hakikatnya, ia mendedahkan cabaran pendaftaran pengguna sesuatu aplikasi termasuk berkaitan MySejahtera yang tidak dapat berfungsi memuaskan pada waktu terbabit meskipun hanya terbuka kepada lima negeri.

Ramai pengguna menggunakannya pada masa serentak hingga menyebabkan bottle-neck. Justeru, hanya mereka bernasib baik sahaja dapat mengakses dan mendaftar vaksin COVID-19.

Penggunaan teknologi maklumat memerlukan kesabaran tinggi. Bagi warga emas dan orang kurang upaya (OKU) tidak dapat menggunakan teknologi maklumat dengan cekap, maka individu lebih mahir perlu mengingatkan serta mendidik mereka untuk menggunakannya dengan betul.

Begitu masyarakat luar bandar yang tidak mempunyai infrastruktur internet, perkakasan mahupun perisian sesuai akan melambatkan lagi proses pendaftaran vaksin COVID-19.

Pendaftaran vaksin kali ini tidak begitu mengambil kira pengguna teknologi mudah alih untuk mengakses dan membuat pendaftaran daripada aspek kebolehgunaan aplikasi.

Pendaftaran dalam MySejahtera menerusi teknologi mudah alih seperti telefon pintar dan komputer riba sepatutnya dapat dilaksanakan secara sistematik.

Tanggungjawab komuniti penting dalam pendaftaran dan temu janji yang boleh dilaksanakan di pedalaman seperti pusat internet komuniti. Maklumat pula perlu disampaikan awal sekurang-kurang lima hari bekerja sebelum pendaftaran slot vaksin dalam talian supaya persediaan dapat dijalankan.

Kerajaan dicadangkan mewujudkan garis panduan standard kebolehgunaan awam untuk menangani masalah kebolehgunaan perisian kegunaan awam kerana ia akan membantu pelaksanaan dan perkhidmatan agensi awam terbabit.

Walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pengumuman pada 2016 menerusi Tatacara Perlaksanaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di KKM, garis panduan kebolehgunaan aplikasi hanya disentuh secara umum, sedangkan ia perlu diperhalusi untuk kegunaan ramai.

Masih belum ada garis panduan kebolehgunaan perisian khusus sektor awam yang dapat dijadikan rujukan sebelum diaplikasikan jabatan masing-masing.

Pakar Kebolehgunaan Sekuriti daripada University College London, Prof Dr Angela Sasse mengingatkan pengguna bukanlah musuh dalam penggunaan sistem teknologi maklumat.

Sebaliknya mereka kurang pengetahuan dan tidak dapat melaksanakan penggunaan aplikasi kerana pelbagai masalah teknikal diakibatkan sistem itu sendiri kurang ciri-ciri kebolehgunaan yang mengambil kira elemen teknologi berpusatkan manusia.

Pengguna perlu dididik dan dibimbing menggunakan aplikasi dengan betul hingga melaksanakan tugas serta kerja dikehendaki mengikut keperluan.

Ciri-ciri aplikasi mesti berpusatkan pendekatan reka bentuk pengguna User-Centred Design, iaitu mengambil kira keperluan pengguna termasuk kebolehgunaan aplikasi dan dapat mengakses aplikasi.

Ia juga mengambil kira fasa pengujian aplikasi sebelum digunakan orang awam supaya aplikasi perisian dapat berfungsi dengan baik.

Hanya dengan mengenal pasti masalah kebolehgunaan perisian sebelum dilancarkan, dapat membantu mengurangkan kos kerugian dan pelaksanaan orang awam.

Sewajarnya aplikasi dan teknologi diuji pengguna profesional atau awam berkaitan sebelum sesuatu sistem dapat digunakan sepenuhnya.

Justeru, pihak termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) disarankan menyediakan standard kebolehgunaan umum untuk apliksi perisian.

Ini termasuk reka bentuk antara muka halaman web dan penggunaan teknologi mudah alih supaya dapat mengurangkan masalah kebolehgunaan untuk perkhidmatan awam.

Antara ciri-ciri standard umum kebolehgunaan antara muka ialah akses capaian, ketekalan, reka bentuk ergonomik minimalis, boleh dibaca dan mudah diingat, fleksibel serta efisien, selain pengurusan ralat realistik.

Standard spesifik reka bentuk antara muka pula perlu bercirikan budaya tempatan, iaitu dari sudut kandungan, bahasa, falsafah dan estetika.

Dengan cara itu, kualiti servis dan produktiviti dapat dipertingkatkan dalam mengambil kira kebolehgunaan, termasuk elemen empati dan kemanusiaan itu sendiri sebagai reka bentuk berpusatkan pengguna tempatan.

Profesor Madya Jabatan Komputeran Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.