PETALING JAYA: Selepas dipecat sebagai pengerusi Prasarana, Tajuddin Abdul Rahman, mahu memberi perhatian kepada golongan B40 yang terkesan oleh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Tajuddin memberitahu FMT beliau berada di pejabat pengarah pilihan raya Umno sejak awal pagi tadi untuk meneliti perkara itu.
“Fokus saya sekarang ialah bagaimana kita boleh menggunakan jentera pilihan raya di peringkat akar umbi untuk membantu mereka yang terkesan oleh pelaksanaan PKP,” katanya.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu, yang juga anggota Majlis Kerja Tertinggi (MT) Umno, berkata beliau menerima laporan ramai orang tidak mampu membeli makanan dan ubat-ubatan.
“Kami dengar ramai yang tidak mampu untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan. Saya akan bercakap dengan cawangan parti bagi menggerakkan ahli kami untuk pergi membantu,” katanya.
Beliau berkata, sekarang bukan masanya untuk bermain politik, sebaliknya perlu memberi perhatian kepada kehidupan orang ramai yang terkesan oleh pandemik yang berlaku.
Katanya, tradisi Umno ialah membantu rakyat dan beliau merancang untuk meneruskan tradisi itu.
Beliau akan mengadakan sesi mesyuarat dalam talian dengan anggota jentera pilihan raya negeri dan bahagian Umno berhubung cara untuk menambah bantuan kepada rakyat yang memerlukan.
Tajuddin yang dilantik sebagai pengerusi Prasarana pada 11 Mei tahun lepas, dipecat daripada jawatan itu Rabu lepas.
Terdahulu, beliau dikritik keras kerana caranya mengendalikan sidang media bagi menjawab pertanyaan berhubung insiden pertembungan dua tren LRT yang menyaksikan 213 cedera dan 60 dimasukkan ke hospital.
Kementerian Kewangan dalam surat bertarikh 26 Mei menyebut pemecatan beliau berkuat kuasa serta-merta.
Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)