YANGON: Sekolah di Myanmar dibuka hari ini buat kali pertama sejak tentera merampas kuasa, namun guru dan pelajar bersedia melawan arahan junta bagi pembukaan penuh untuk menunjukkan penentangan mereka.
Empat bulan kemelut melanda negara itu susulan penggulingan pemimpin rakyat, Aung San Suu Kyi, dengan lebih 800 orang terbunuh oleh pasukan keselamatan dan mogok di seluruh negara yang melumpuhkan ekonomi.
Guru sekolah kerajaan, yang mengenakan uniform hijau dan putih seperti ditetapkan kementerian pendidikan, memainkan peranan besar dalam protes besar-besaran di peringkat awal, bersama pekerja kereta api, doktor dan penjawat awam di jalanan.
Junta menegaskan sekolah dibuka hari ini selepas setahun ditutup disebabkan COVID-19, namun banyak pendidik memutuskan mereka tidak dapat kembali ke pekerjaan yang disukai mereka.
“Saya tidak takut dengan penahanan dan penyeksaan mereka. Saya takut menjadi seorang guru yang mengajar pelajar mengenai propaganda,” kata seorang guru, Shwe Nadi dari ibu kota komersial, Yangon kepada AFP.
Namanya ditukar bagi tujuan keselamatan. Guru 28 tahun itu dipecat kerana menyokong gerakan ketidakpatuhan awam, seorang daripada ribuan guru dan ahli akademik yang disingkir.
“Sudah tentu saya berasa teruk kerana hilang pekerjaan ini kerana saya suka menjadi guru. Walaupun tidak berpendapatan tinggi, kami bangga menjadi guru kerana dihormati orang lain,” katanya.
Nu May, bukan nama sebenar, di selatan Mon akan turut menjauhkan dirinya, katanya kepada AFP.
Guru sekolah rendah itu kehilangan gajinya selama berbulan-bulan selepas menyertai boikot seluruh negara, namun berkata ‘jiwa saya murni’ kerana mengambil bahagian dalam mogok itu.
“Apabila saya melihat bagaimana mereka membunuh ramai orang, saya rasa saya tidak mahu menjadi guru lagi,” katanya.
Sebahagian mereka yang terbunuh dalam tindakan keras tentera itu ialah pelajar sekolah rendah dan kumpulan kebajikan, Save the Children berkata, mereka yang terbunuh termasuk berusia di bawah 16 tahun. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian