‘Seksa hidup’ pesakit tulang belakang semasa PKP

Sekatan pergerakan memberi kesan buruk kepada penduduk rumah panjang dari segi kesihatan dan juga pendapatan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang penghuni rumah panjang daripada suku Punan di Sarawak, Atong Siyang, 69, yang mengalami masalah saraf tulang belakang memerlukan rawatan berterusan, namun beliau terpaksa menanggung kesakitan sementara menunggu perintah kawalan pergerakan (PKP) tamat.

Atong tinggal di salah sebuah rumah panjang di Belaga, Kapit di Sarawak yang menyaksikan komuniti rumah panjang itu mengalami kesukaran mendapatkan rawatan bagi masalah kesihatan mereka, selain mengalami kehilangan pendapatan ekoran PKP dan peningkatan jangkitan Covid-19.

Sekatan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) juga memberi kesan kehilangan pendapatan kepada kebanyakan mereka yang merupakan petani dan tidak dibenarkan keluar untuk mengusahakan ladang masing-masing.

Bercakap kepada FMT, anak lelaki Atong, Gebriel Atong, berkata, ketika PKPB berkuat kuasa di daerah Belaga, perjalanan antara daerah tidak dibenarkan dan ramai penduduk tidak boleh keluar bagi mendapatkan rawatan yang diperlukan untuk penyakit mereka.

Gabriel, yang juga seorang aktivis hak pemilikan tanah berkata, penduduk rumah panjang sering melakukan perjalanan dengan bot ekspres dari Belaga ke Kapit, tetapi ketika ini ramai yang tidak berani melakukannya kerana wabak Covid-19.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii bersetuju bahawa kekurangan kemudahan kesihatan di kawasan luar bandar menjadi perhatian utama dan klinik di kawasan terbabit tidak akan dapat menangani peningkatan bilangan pesakit jika terjadi jangkitan wabak yang besar.

Gabriel berkata, banyak pengusaha bot ekspres turut mengalami kerugian dan ada yang terpaksa menutup perniagaan mereka.

Beliau mendesak Kementerian Kesihatan KKM) supaya memberi pemakluman lebih awal kepada penduduk di luar bandar bagi mereka yang akan menerima suntikan vaksin.

“Mereka hanya mendapat notis dua hari sebelum temu janji vaksinasi mereka. Tidak mudah untuk mereka tempoh yang pendek begitu kerana mereka tinggal di kawasan luar.

“Sekurang-kurangnya beritahu mereka empat atau lima hari sebelum tarikh vaksinasi supaya mereka dapat membuat persediaan,” katanya.

Beliau berkata, ada yang terpaksa menaiki bot ekspres ke Klinik Kesihatan Belaga (satu-satunya klinik yang menawarkan vaksinasi di daerah itu).

Beliau juga mendesak kerajaan supaya mempercepatkan program vaksinasi Covid-19 dalam kalangan masyarakat rumah panjang di luar bandar untuk mengelakkan lebih banyak kluster jangkitan tercetus.

Yii berkata, banyak rumah panjang diletakkan di bawah PKPB menyebabkan kehilangan pendapatan penduduk.

“Sebilangan besar daripada mereka adalah petani yang berniaga, tetapi mereka kini tidak dapat keluar rumah untuk mengusahakan kebun. Ini adalah kesan besar ke atas mata pencarian mereka,” katanya kepada FMT.

Yii berkata, vaksin satu dos adalah lebih praktikal untuk penghuni rumah panjang kerana sukar bagi pasukan vaksinasi untuk mengakses kawasan luar bandar berkali-kali.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.