Sektor ekonomi perlu terus dibuka walaupun COVID-19 meningkat

[email protected]

KUALA LUMPUR: Sektor ekonomi perlu terus dibenar beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan jelas, walaupun jangkitan COVID-19 semakin meningkat kebelakangan ini.

Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata ini kerana impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 seperti kehilangan kerja, tidak dibayar gaji dan terpaksa mengambil cuti masih berlarutan.

“MTUC terima laporan ada majikan sudah tiga bulan tidak bayar gaji, sampai hari ini masih berlaku. Kalau dibiarkan, habislah tutup terus syarikat-syarikat ini.

“Tiada syarikat tiadalah pekerja. Berapa lama lagi kerajaan mampu menanggung kita, selain dengan ikhtiar sendiri,” katanya kepada BH hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata negara perlu mencapai keseimbangan yang tepat di antara kesihatan dan ekonomi serta kesihatan dan sosial.

Beliau mengakui adalah sangat mencabar untuk mencapai keseimbangan yang tepat kerana kesihatan dan ekonomi adalah sama penting.

Sementara itu, Mohd Effendy berharap, operasi sektor lain seperti pendidikan, sosial dan keagamaan dihadkan buat sementara waktu sehingga keadaan pulih.

Katanya, jika aktiviti sektor lain dikawal, pergerakan golongan pekerja tidak akan bercampur dengan orang yang tidak berkaitan sekaligus mengurangkan risiko jangkitan.

Sementara itu, penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata kerajaan wajar memberi tumpuan khas kepada operasi sektor ekonomi di peringkat mikro.

Katanya, golongan penjaja, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor peruncitan dan pelancongan yang memberikan sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini berdepan dengan kesulitan

“Sejak PKP 3.0 dilancarkan, masih belum ada program bantuan langsung dari kerajaan memandangkan ramai peniaga kecil yang bergantung kepada bazar Ramadan dan Aidilfitri kini kehilangan pendapatan.

“Apatah lagi bagi mereka yang melabur dalam modal pusingan untuk jualan semasa yang mengalami kerugian besar,” katanya.

Secara makro pula, Aimi Zulhazmi berkata, ekonomi negara kini dalam fasa pemulihan dengan laporan statistik yang positif untuk indeks pengeluaran serta jumlah eksport yang tinggi.

Katanya, ia disumbangkan peningkatan permintaan kepada semikonduktor, sarung tangan serta kenaikan harga minyak sawit dan minyak mentah sekaligus menjadi petanda yang baik ke arah pemulihan ekonomi walaupun negara terpaksa melalui beberapa fasa PKP.

Aimi Zulhazmi berkata, kerajaan juga perlu merangka langkah jangka panjang bagi setiap sektor ekonomi kerana pandemik COVID-19 tidak akan berakhir dengan cepat dalam masa dua ke tiga tahun akan datang.

Setakat ini katanya, kerajaan menangani masalah ekonomi dan kesihatan secara jangka pendek kerana situasinya cukup mudah berubah.

“Mencari keseimbangan antara keperluan kesihatan dan ekonomi sewaktu COVID-19 mengganas sememangnya sukar kerana tiada siapa yang tahu bagaimana cara terbaik menguruskannya,” katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.