Selamat berjuang Harimau Malaya!

[email protected]

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya terbang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) tanpa sebarang kerisauan menerusi penerbangan sewa khas bersama rakan penerbangan rasmi mereka, Malaysia Airlines.

Skuad kebangsaan yang akan mengharungi baki kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai itu terbang dengan penerbangan sewa khas MH8436 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9 pagi tadi.

Penerbangan khas itu membawa 45 pemain serta barisan kejurulatihan yang diketuai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin di mana mereka akan mengharungi dua aksi pemanas badan sebelum berdepan tiga aksi penting di Dubai.

Hamidin meluahkan rasa berbesar hati atas komitmen Malaysia Airlines terhadap skuad Harimau Malaya dalam menghadapi misi cukup penting untuk layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022 sekali gus layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

“Komitmen serta sokongan Malaysia Airlines terhadap skuad kebangsaan sememangnya tidak dapat dipersoalkan lebih-lebih lagi kerjasama di antara kedua-dua pihak ini sudah terjalin sejak 2018.

“Menerusi kerjasama Malaysia Airlines ini, perjalanan skuad kebangsaan ke UAE menjadi lebih selesa sekali gus akan dapat menyuntik semangat kepada pemain skuad kebangsaan apabila turun beraksi nanti.

“Malah, inisiatif Malaysia Airlines mengecat pesawat Airbus 330 dengan liveri Harimau Malaya pasti akan membakar semangat pemain yang melihat serta yang menaiki pesawat ini,” kata Hamidin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Berhad, Izham Ismail mengakui pihaknya berbangga diberi peluang menjadi sebahagian daripada sejarah dalam menyokong skuad Harimau Malaya yang membawa nama Malaysia ke pentas dunia sejajar dengan komitmen ‘Fly Malaysia’.

“Misi ini memberi peluang kepada syarikat penerbangan nasional untuk terbang ke bandar di luar rangkaian biasa kami seperti Dubai dan Manama. Malaysia Airlines komited untuk menawarkan standard keselamatan dan kebersihan tertinggi dalam setiap langkah di sepanjang penerbangan skuad kebangsaan.

“Ini bagi memastikan skuad Harimau Malaya dapat terbang dengan yakin dan selesa untuk tampil di perlawanan terutama semasa musim pandemik COVID-19,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.