Selaras, perketat SOP PKP elak kekeliruan orang ramai

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur: Prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu diselaras dan dilaksana seketat-ketatnya bagi mengelak kekeliruan orang ramai, selain membuka ruang rakyat ingkar kepada arahan pematuhan SOP itu.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun, berkata perbezaan ketara terhadap pelaksanaan PKP kali pertama hingga kali ketiga ini mencetuskan kekeliruan dan mendatangkan banyak masalah kepada semua pihak termasuk sektor industri serta perniagaan.

“Apa salahnya kita selaraskan saja SOP sama seperti PKP kali pertama dulu. Malangnya, sekarang ini, SOP setiap kali PKP berbeza, menyebabkan orang keliru, sebab itu mereka marah.

“Jika perlu bezakan PKP asal dengan PKP lain, boleh namakan semula PKP baharu dengan nama lain seperti PKP Ekonomi, untuk benarkan sektor perniagaan dibuka ketika PKP, atau PKP Perayaan, khusus untuk PKP pada musim perayaan, jadi orang lebih faham,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kemarahan orang ramai terhadap SOP sangat berasas, memandangkan pelaksanaannya berbeza mengikut tempat dan lokaliti ketika ini.

“Contohnya arahan penutupan bazar Ramadan di Selangor, tetapi bagi negeri dan daerah lain yang dikenakan PKP, bazar Ramadan dan Aidilfitri masih dibenar operasi.

“Sama juga seperti arahan larangan rentas daerah dan negeri di seluruh negeri bermula esok, termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Apa rasional arahan itu dikeluarkan,” katanya.

Hanafiah berkata, SOP Aidilfitri yang diumumkan kerajaan terutama mengenai had kehadiran ziarah di kawasan PKP dan PKPB juga menimbulkan pelbagai persoalan.

“Di kawasan PKP, had ziarah dibenarkan adalah 15 orang, tetapi tidak dinyatakan adakah 15 orang itu datang mengikut masa tertentu atau dalam tempoh sehari,” katanya.

Beliau juga meminta Malaysia mengambil contoh China dalam mengawal penularan COVID-19 dan henti memomokkan kes jangkitan di India kerana pendekatan di negara berkenaan sebelum ini jelas berbeza dengan Malaysia.

“Hari ini China merekodkan angka jangkitan satu digit ketika program vaksinasinya pun masih belum selesai. Ada juga rakyatnya menolak vaksin, tetapi mengapa mereka jauh lebih berjaya dari segi mengawal penularan.

“Mereka ketatkan SOP dan umumkan kawalan pergerakan. Kita perlu belajar dari negara yang berjaya, bukan membandingkan dengan negara yang gagal,” katanya.

Seorang lagi pakar kesihatan awam, Prof Madya Dr Norhayati Kadir berkata, tiada senjata lagi dalam perangi wabak ini, selain memperketatkan SOP dan berhenti mengharap kepada vaksin.

“Kembali kepada asas, kita pastikan virus tidak berjumpa ‘host’ atau perumah baharu yang mungkin menjangkiti kita atau keluarga, seterusnya menular kepada orang lain.

“Komuniti setempat boleh adakan ‘community watch’ iaitu sesiapa yang tidak memakai pelitup muka atau lakukan perhimpunan hari raya di kawasan setempat ditegur dan dilapor.

“Pupuk disiplin diri dengan tidak pergi ke tempat awam atau sesak tanpa tujuan, contoh pasar raya dan kawasan berisiko seperti disenarai dalam Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE),” katanya.

Beliau berkata, mereka yang sudah menerima pemakluman masa pengambilan vaksin dinasihat mematuhinya dan jika gagal hadir, perlu melaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membolehkan tempatnya diganti segera.

“Larangan rentas negeri dan daerah perlu dipatuhi kerana rakyat selalu dikaitkan dengan himpunan hari raya jika dapat merentas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.