Semakan tarif air Pulau Pinang ikut kelulusan kerajaan

[email protected]

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) tidak menetapkan masa semakan semula tarif air di Pulau Pinang kerana ia tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa, berkata permohonan bagi semakan tarif sudah dilakukan pihaknya pada 2019 bagi memenuhi syarat memperbaharui Lesen Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk beroperasi pada tahun 2020 hingga 2022.

“SPAN memutuskan bagi mengadakan rundingan awam mengenai permohonan semakan tarif PBAPP pada 2021.

“Permohonan PBAPP pada 2019 juga sudah mematuhi arahan SPAN yang mewajibkan semua operator air di Malaysia menetapkan tarif berpatutan, sesuai dengan formula Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) SPAN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng, sebelum ini mendakwa Kerajaan Pulau Pinang perlu menghentikan rancangan menaikkan tarif air yang dikatakan tidak sesuai berikutan pandemik COVID-19.

Jaseni berkata, SPAN juga melaksanakan rundingan awam berhubung cadangan semakan tarif di Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor bagi tahun 2021, selain Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor serta Wilayah Persekutuan Labuan pada 2019 dan 2020.

Katanya, selepas semua rundingan awam selesai, cadangan semakan tarif air itu akan dikemukakan kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), sebelum dimaklumkan kepada Kabinet bagi kelulusan pewartaan dan pelaksanaan oleh operator air.

“Pada sidang Parlimen Julai tahun lalu, Menteri KASA, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan Kerajaan Persekutuan tidak akan meluluskan semakan tarif air berikutan pandemik COVID-19.

“Susulan itu, PBAPP hanya dapat melaksanakan tarif air baharu selepas mendapat kelulusan Kabinet,” katanya.

Jaseni berkata, berdasarkan dakwaan MCA itu, sepatutnya maklum balas mereka diberi kepada Kerajaan Persekutuan.

“Tarif air domestik Pulau Pinang sekarang adalah yang terendah di Malaysia, selain memperkenalkan Surcaj Penjimatan Air (WCS) bagi penggunaan domestik yang berlebihan iaitu melebihi 35,000 liter sebulan.

“Sehingga kini, lebih 70 peratus pengguna air domestik Pulau Pinang tidak dikenakan caj WCS,” katanya.

Purata tarif domestik di Pulau Pinang bagi 35,000 liter pertama sebulan ialah 32 sen setiap 1,000 liter menjadikan ia terendah di Malaysia dengan purata kebangsaan adalah 71 sen setiap 1,000 liter.

Purata tarif perniagaan Pulau Pinang sedia ada bagi 500,000 liter pertama sebulan pula adalah RM1.36, ketiga terendah di Malaysia dengan purata kebangsaan ialah RM1.87.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.