Semakin serasi

[email protected]

Kuala Lumpur: Satu perkembangan positif buat pelumba Moto2 Negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang mengakui kini sudah semakin serasi dengan jentera baharunya, NTS.

Selepas empat perlumbaan bagi musim 2021, Hafizh melakarkan keputusan positif di Grand Prix (GP) Sepanyol apabila melepasi garisan penamat di kedudukan ke-17 biarpun bermula dari barisan kedua terakhir.

Katanya, catatan masa yang direkodkan di Litar Jerez tidak begitu jauh dengan pemenang Fabio di Giannantonio dan ia dilihat satu perkembangan positif menjelang perlumbaan di GP Perancis 16 Mei ini.

“Saya lihat ada peningkatan selepas tiga perlumbaan sebelum ini. Jurang masa dapat dikurangkan dengan posisi pelumba di depan iaitu dalam 35 saat.

“Saya pula melengkapkan 23 pusingan dengan catatan 39 minit 43.241 saat. Masa itu tidak begitu jauh dengan pemenang dan ia memberi satu perkembangan yang positif.

“Dengan kelajuan ini dan jika saya mendapat permulaan yang lebih baik, saya boleh meraih mata dalam kelompok lapan hingga 15 terbaik,” katanya.

Mengulas mengenai perlumbaan keempat di Litar Jerez, pelumba pasukan NTS RW Racing GP yang menyambut ulang tahun ke-27 semalam berkata, dia bermula sedikit sukar namun mula konsisten selepas satu pusingan demi pusingan dengan kelajuan berjaya memintas beberapa pelumba lain.

“Saya harap di GP Perancis nanti akan bagi satu lagi minggu yang positif. Ketika ini saya sudah mula memahami sedikit demi sedikit jentera saya. Jadi memang saya sangat berharap di Le Mans nanti saya akan buat lebih baik dan meraih keputusan yang lebih baik berbanding perlumbaan sebelum ini.

“Apapun masih banyak yang perlu diperbaiki lagi. Antaranya mencari pelarasan suspensi motosikal kerana ia sangat berlainan dari sebelum ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.