Serangan ke atas Gaza biadab, kejam – PM

[email protected]

Putrajaya: Malaysia mengutuk tindakan Israel melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza yang menyebabkan kematian dan kecederaa terhadap rakyat Palestin termasuk kanak-kanak.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, serangan itu disifatkan kejam, melampau dan keterlaluan yang secara keseluruhan dan jelas menyalahi undang-undang antarabangsa.

“Malaysia turut mengulangi rasa kesal dengan serangan ganas dan pencerobohan berterusan tentera regim Israel terhadap rakyat Palestin dan umat Islam yang sedang beribadat di Masjid Al-Aqsa sejak 7 Mei lalu, serta pengusiran rakyat Palestin yang tinggal di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.

“Pada hari-hari terakhir bulan suci Ramadan ini, serangan yang keji dan disasarkan terhadap saudara-saudara kita sesungguhnya amat biadab dan tidak menghormati bukan sahaja umat Islam di seluruh dunia, tetapi umat manusia secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, Malaysia menuntut Israel untuk segera menghentikan kekejamannya terhadap rakyat Palestin di wilayah yang diduduki termasuk yang berada di Semenanjung Gaza dan regim itu wajib dipertanggungjawabkan atas apa yang sudah berlaku.

“Masyarakat antarabangsa tidak boleh menutup mata dan berdiam diri serta tidak menghiraukan kekejaman yang dilakukan oleh regim itu.

“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa terutama sekali Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya bertindak tegas dan mendesak Israel untuk menghentikan segera kezaliman terbaharu terhadap rakyat

Palestin. Masyarakat antarabangsa juga perlu bersama-sama menggembleng usaha bagi melindungi rakyat Palestin daripada tindakan ganas Israel,” katanya.

Beliau memberitahu, Malaysia akan sentiasa memberi sokongan padu dan mengukuhkan solidariti dengan rakyat Palestin selain mengulangi pendirian menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

Katanya, penubuhan menerusi penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin, yang merupakan satu-satunya penyelesaian terbaik dalam konflik Palestin-Israel.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.