Siasatan dakwaan peserta Unduk Ngadau dicabul tanpa takut, desak pemimpin wanita Sabah

Pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau dianjurkan setiap tahun sebagai sebahagian daripada festival Kaamatan. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Pemimpin wanita Sabah dari kedua-dua belah pihak politik meminta polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan seorang ahli politik melakukan gangguan seksual terhadap seorang peserta pertandingan ratu cantik anjuran negeri itu.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Julita Majungki berkata, polis perlu “bersungguh-sungguh” menyiasat dakwaan peserta Unduk Ngadau Kaamatan tersebut.

Majungki, yang juga ketua penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, kementeriannya juga bersedia menghubungi wanita itu untuk menawarkan khidmat kaunseling dan guaman.

“Saya percaya dia berdepan pengalaman yang cukup traumatik, Saya kesal perkara sebegini terjadi dalam satu acara yang cukup meriah,” katanya kepada FMT.

“Ia kini menjadi kes polis, tetapi jika individu itu didapati bersalah, maka dia perlu menerima hukuman setimpal mengikut undang-undang.

“Tetapi pada masa yang sama, kesejahteraan dan keadaan mental peserta sangat penting – kami boleh menghubunginya untuk melihat bagaimana kami boleh membantu.”

Terdahulu, Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Guan Dee Koh Hoi berkata, parti itu menggantung keahlian seorang anggotanya yang didakwa mencabul seorang peserta pertandingan.

Lelaki terbabit juga dituduh mengasari anggota keselamatan di dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) baru-baru ini.

Guan Dee berkata, parti itu memutuskan untuk menggantung anggota tersebut daripada jawatannya sebagai penyelaras di salah satu bahagian Parlimen STAR berhampiran ibu negeri, berkuat kuasa serta-merta, bagi melancarkan siasatan.

Keputusan itu diambil setelah dakwaan membabitkan ahli itu, yang juga melibatkan parti, tular di media sosial.

Guan Dee berkata, lembaga disiplin parti akan bermesyuarat tidak lama lagi untuk memutuskan sama ada akan memecatnya dari STAR.

Sebelum ini, Ketua Polis Sabah Hazani Ghazali memberi jaminan bahawa siasatan teliti akan dijalankan atas dakwaan bahawa peserta pertandingan ratu cantik itu dicabul oleh lelaki terbabit, yang dikatakan merupakan sebahagian daripada pasukan penganjur.

Bagaimanapun Majungki, yang juga ahli jawatankuasa pusat KDCA berkata, individu yang dimaksudkan tiada kaitan dengan persatuan itu, sambil menambah, dia juga bukan sebahagian daripada jawatankuasa penganjur Unduk Ngadau.

Katanya, lelaki terbabit dilantik oleh jawatankuasa penganjur peringkat tinggi untuk menjadi sebahagian daripada acara tersebut.

Ketua Wanita DAP Sabah Jannie Lasimbang juga meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan tersebut secara terperinci, sekali gus bimbang wujudnya cubaan untuk menyembunyikan kejadian sebenar kerana lelaki itu berkait politik.

“Kami mahu polis siasat dakwaan tersebut dengan teliti dan menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau berat sebelah, tanpa mengira hubungan politiknya atau betapa kayanya dia.

“Gangguan seksual adalah jenayah serius,” katanya kepada FMT.

Sambil memuji keberanian peserta tersebut untuk tampil, Lasimbang turut menyeru individu yang mungkin dianiaya untuk turut tampil melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Bekas pemenang Unduk Ngadau Jo-Anna Henley Rampas turut memuji mangsa kerana berani bersuara.

“Unduk Ngadau adalah satu acara meriah yang tertanam dalam budaya masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungut (KDMR). Jika dakwaan ini benar, ia mencemarkan imej pertandingan.

“Sebagai bekas pemenang, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa kerana bertindak pantas untuk menyiasat perkara ini lebih lanjut dan memastikan keadilan ditegakkan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” kata Rampas, yang juga timbalan ketua Wanita Warisan.

Pengerusi Majlis Belia KDCA Steve Johnny Mositun berkata, dakwaan gangguan seksual itu bukan sahaja akan memberi nama buruk kepada pertandingan, tetapi juga kepada Kaamatan, atau festival menuai.

“Gangguan seperti itu seharusnya tidak berlaku kerana ia bukan sahaja tidak bermoral, tetapi menimbulkan ketakutan kepada peserta pada masa depan, keluarga mereka dan masyarakat kita.

“Justeru kami menggesa polis menjalankan siasatan penuh dan pelakunya, jika ada, perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.