Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.

Sindiket dadah guna surat palsu MITI tumpas, polis rampas syabu lebih RM4 juta

Ketua Polis Melaka, Abdul Majid Mohd Ali, berkata empat ahli sindiket termasuk seorang ahli kimia ditahan dalam dua serbuan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Satu sindiket dadah yang menggunakan surat kebenaran palsu untuk bergerak melepasi sekatan jalan raya di negara ini, lumpuh selepas polis menahan empat individu termasuk seorang ahli kimia, serta merampas 10.4kg dadah jenis syabu bernilai RM4.2 juta.

Ketua Polis Melaka, Abdul Majid Mohd Ali, berkata semua suspek berusia 33 hingga 50 tahun ditahan dalam serbuan di Melaka dan Johor pada 12 dan 13 Mei lalu menerusi Op Passat 2 yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Tangkapan pertama pada kira-kira 5.30 petang 12 Mei lalu melibatkan dua lelaki tempatan yang menaiki kereta Volkswagen Passat dalam perjalanan ke Tanjung Kling, Melaka.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui dadah yang disembunyikan di antara tempat duduk belakang dan but kereta yang diubah suai,” katanya pada sidang media hari ini, menurut laporan Bernama

Beliau berkata, suspek dipercayai cuba membawa dadah berkenaan melalui jalan laut di Tanjung Kling.

“Tangkapan kedua pula melibatkan pasangan kekasih warga tempatan dan lelaki berkenaan adalah ahli kimia berusia 40 tahun.

“Mereka ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah di Muar, Johor kira-kira 6.24 pagi keesokan hari,” katanya.

Abdul Majid berkata, dalam serbuan kedua itu, polis turut merampas tiga Perodua Myvi, barang kemas dan wang tunai pelbagai negara bernilai kira-kira RM117,116.08.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket itu aktif dalam pengedaran dadah rentas negara sejak setahun lalu dan melepasi sekatan jalan raya menggunakan surat palsu daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas alasan menjalankan perniagaan membekalkan alat ganti kenderaan.

“Dadah berkenaan dipercayai untuk edaran luar negara dan dari mana diperoleh masih dalam siasatan,” katanya.

Katanya, semua suspek ditahan reman tujuh hari sejak 13 Mei lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Comment

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.