Sindiket palsukan dokumen pengenalan diri tumpas

[email protected]

KOTA KINABALU: Sembilan warga asing dipercayai terbabit dalam sindiket pemalsuan pelbagai jenis dokumen pengenalan diri ditahan dalam Op Serkap oleh Jabatan Imigresen Malaysia cawangan Sabah.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia cawangan Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin, berkata semua yang ditahan membabitkan enam lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 76 tahun.

Katanya, semua suspek warga Filipina itu ditahan bersama 90 keping surat pengesahan dokumen sementara, surat pengesahan unit penempatan dan resit pengenalan sementara Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sabah yang dipalsukan.

“Kita turut merampas 22 keping MyKad dan salinan sijil lahir serta 13 keping permit masuk IMM 5 dan pas lawatan IMM13 Jatan Imigresen Malaysia yang dipalsukan.

“Kita juga merampas 140 keping gambar berukuran pasport yang dipercayai untuk tujuan pengeluaran dokumen palsu,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Op Serkap yang diadakan dua hari sehingga Ahad lalu, dijalankan di tiga lokasi iaitu Kampung Air, Kampung Likas dan Inanam.

Muhamad Sade berkata, pihaknya turut merampas dua kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda dan semua suspek sudah ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut.

“Siasatan yang dijalankan turut mendapati semua dokumen berkenaan dijual pada harga sekitar RM100 hingga RM500 kepada warga Filipina dan sehingga kini dipercayai 200 hingga 300 dokumen sudah dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu pemalsuan atau pindaan dokumen.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 56(1)(j), Seksyen 56(1)(i) dan Seksyen 56(1A)(c) akta yang sama.

“Ia membabitkan kesalahan menggunakan dokumen milik orang lain, menggunakan dokumen palsu dan bersubahat serta membabitkan diri untuk melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Semua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai pas yang sah,” katanya.

Sehubungan itu, Muhamad Sade berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai supaya melaporkan sebarang aktiviti pemalsuan dokumen kerajaan untuk tindakan segera.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan itu bertujuan untuk menggalakkan pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal di negara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.