Sinetron remaja 14 tahun kahwin lelaki dewasa cetus kemarahan

JAKARTA: Sebuah sinetron Indonesia mencetus kemarahan apabila memilih remaja perempuan berusia 14 tahun untuk melakonkan watak isteri kepada seorang lelaki dalam perkahwinan poligami.

Sinetron bertajuk Suara Hati Istri dibintangi remaja itu, Lea Ciarachel Fourneaux bersama Panji Saputra, memaparkan beberapa babak intim antara mereka berdua, termasuk lelaki berusia 39 tahun berkenaan mencium perut gadis terbabit apabila mengetahui dia hamil.

Lea melakonkan watak remaja yang terpaksa menjadi isteri ketiga kepada seorang ahli perniagaan yang kaya selepas lelaki itu melunaskan bil perubatan bapanya yang sakit.

Poligami bukan sesuatu yang asing dalam negara majoriti Muslim itu, namun drama berkenaan mencetus kemarahan orang ramai minggu ini, yang mendakwa penerbit cuba menormalisasi perkahwinan kanak-kanak, yang salah di sisi undang-undang.

“Ini adalah masanya untuk menghentikan normalisasi dan mengangkat perkahwinan kanak-kanak.

“Hubungan seksual antara seorang dewasa dengan kanak-kanak adalah fidofilia,” kata pertubuhan Jakarta Feminist menerusi laman Instagram.

Sementara itu, Lea pula mengakui tidak bermasalah melakonkan watak sebagai remaja yang menjadi isteri orang.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Penyiaran Indonesia memaklumkan sudah mengarahkan tayangan drama itu digantung sehingga pihak penerbit mengubah pelakon dan jalan ceritanya.

Usia minimum perkahwinan dibenarkan di Indonesia adalah 19 tahun, namun perkahwinan kanak-kanak masih kerap berlaku di beberapa kawasan di negara itu akibat kemiskinan dan kurang pendidikan serta peluang pekerjaan dalam kalangan wanita. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.