WASHINGTON: Sistem saluran paip minyak terbesar Amerika Syarikat (AS) terpaksa ditutup sepenuhnya selepas berlaku serangan siber terhadap sistem perisian pengurusan paip berkenaan.
The Colonial Pipeline Company mendakwa, mereka menjadi mangsa serangan siber daripada penggodam yang menceroboh sistem komputer dan memeras ugut meminta sejumlah bayaran daripada syarikat.
“Sebagai tindak balas, kami secara proaktif menutup sebahagian sistem komputer untuk menyekat ancaman dan menghentikan sementara operasi semua saluran paip minyak sehingga menjejaskan beberapa sistem teknologi maklumat (IT) kami.
“Sebuah firma keselamatan siber pihak ketiga sedang menyiasat kejadian ini dan kami sudah menghubungi penguatkuasa undang-undang serta agensi persekutuan lain,” kata syarikat itu dalam kenyataan, semalam.
The Colonial Pipeline Company adalah syarikat mengedar petrol dan bahan bakar jet dari Pantai Teluk Texas ke Pantai Timur AS melalui saluran paip sejauh 8,850 kilometer bagi memenuhi keperluan 50 juta penggunanya.
Syarikat berpusat di selatan Georgia itu adalah operator saluran paip terbesar di AS berdasarkan jumlah perkhidmatan, mengangkut 2.5 juta tong petrol, diesel, minyak pesawat dan pelbagai produk petroleum diproses setiap hari.
Beberapa bulan lalu, AS dikejutkan dengan serangan siber oleh penggodam dikenali sebagai SolarWinds yang menceroboh keselamatan ribuan komputer kerajaan dan pihak swasta.
Pihak keselamatan AS itu mengaitkan serangan siber berkenaan dilakukan pihak di Russia selain turut mengaitkan China menjadi dalang aktiviti pencerobohan komputer di negara itu. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian