Situasi Covid-19 membimbangkan, penduduk Besut dinasihatkan hadkan pergerakan

Kuala Terengganu: Situasi penularan Covid-19 di daerah Besut ketika ini sangat membimbangkan dengan kadar insiden adalah 117 kes bagi setiap 100,000 penduduk, kata Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau berkata, daripada 16 kes kematian direkodkan di Terengganu setakat ini, lapan kes adalah penduduk Besut.

“Mereka yang meninggal dunia ini datang ke hospital dalam keadaan sudah tenat. Masih ada empat pesakit warga Besut sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Setiap hari, berpuluh kes dilaporkan di daerah Besut dan sebanyak 45 kes baharu direkodkan hari ini manakala lapan kluster aktif sedang menular di daerah itu.

“Kluster paling besar adalah Kluster D’Lahar dan Kuster Tok Has yang melaporkan ratusan kes positif,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Besut selama 14 hari bermula semalam bagi mencegah penularan Covid-19 di daerah itu.

Sehubungan itu, Dr Nor Azimi menasihatkan penduduk Besut agar terus mengehadkan pergerakan dan mengelak aktiviti perkumpulan dalam jumlah ramai.

“PKP di Besut akan gagal jika hanya larangan rentas negeri atau daerah diambil berat sedangkan pada masa sama, rakyat masih berhimpun di sana sini.

“Keadaan akan diburukkan lagi sekiranya tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan amalan menjaga kebersihan tangan,” katanya.

Terengganu hari ini merekodkan 71 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu sebanyak 4,799 kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.