Sultan Perak batal hasrat solat, jamuan Aidilfitri bersama rakyat

[email protected]

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah membatalkan hasrat baginda untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada 1 Syawal ini susulan kebimbangan terhadap penularan COVID-19 yang mencatatkan angka sangat tinggi kebelakangan ini.

Perkara itu disahkan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini melalui kenyataan dikeluarkan hari ini selepas titah itu dizahirkan Sultan Nazrin.

Beliau berkata, Sultan Nazrin turut memaklumkan pembatalan hasrat baginda mengadakan acara jamuan Aidilfitri di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.

Selain itu, Mohd Annuar berkata, berdasarkan status semasa penularan wabak COVID-19 dipersembahkan Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Keselamatan Negeri (MKN), Sultan Nazrin turut membenarkan solat sunat Aidilfitri dibuat di kawasan lapang serta terbuka dengan kehadiran tidak melebihi 50 jemaah, berserta pematuhan penjarakan fizikal, manakala aktiviti ziarah kubur tidak dibenarkan.

“Takbir raya dibolehkan di masjid dan surau, namun tidak boleh dilakukan dari rumah ke rumah, manakala masjid serta surau boleh mengadakan solat Aidilfitri dengan had jemaah berdasarkan ketetapan Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN.

“Kehadiran solat Aidilfitri di masjid dan surau terhad kepada warga Malaysia berusia 12 tahun ke atas saja dan tiada jamuan di masjid, surau serta kawasan lapang terbuka selepas solat,” katanya.

Mohd Annuar berkata, Sultan Nazrin turut mengingatkan rakyat supaya memahami tahap keseriusan penularan COVID-19 dan mengambil tanggungjawab membantu memutuskan rantaian jangkitan serta menunjukkan simpati kepada petugas barisan hadapan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut mengucapkan Selamat Hari Raya dan mendoakan kesejahteraan semua rakyat menghadapi ujian Allah menerusi wabak COVID-19 ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.