Sumbang elaun kakitangan awam ke Akaun Amanah Bencana

[email protected]

Kuala Lumpur: Sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi pengurusan tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56 serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam pada masa kini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana dalam tempoh tiga bulan.

Sumbangan daripada lebih 800,000 penjawat awam itu tidak termasuk petugas barisan hadapan serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28 dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, sebanyak 50 peratus elaun ITK bagi penjawat awam Jusa A ke atas akan disumbangkan ke dalam tabung berkenaan, manakala Jusa B sebanyak 20 peratus serta Jusa C sebanyak 10 peratus.

Bagi gred 44 hingga 56 sebanyak lima peratus daripada elaun berkenaan akan disumbangkan ke tabung itu, manakala bagi gred 29 hingga 41, sebanyak RM10 dari elaun ITKA akan disumbangkan untuk tujuan yang sama.

Menurutnya, surat edaran dan perincian pelaksanaan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Kita memahami penjawat awam sentiasa menjadi tulang belakang kerajaan dalam usaha mengimbangi nyawa dan kehidupan.

“Sumbangan ini adalah tanda kebersamaan penjawat awam dalam menyokong usaha kerajaan bagi memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik Covid-19 di negara kita.

“Semoga pengorbanan ini menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan bagi setiap anggota perkhidmatan awam dan ahli keluarga kita,” katanya.

Beliau turut menyeru penjawat awam supaya meneruskan ikhtiar dan meningkatkan komitmen dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara serta membantu memastikan kejayaan mengharungi tempoh yang mencabar ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.