Surat akhir penuh emosi

[email protected]

SELEPAS hampir empat bulan melancarkan single berjudul Surat Akhir, kini penyanyi, Amira Othman tampil melancarkan muzik video rasmi lagu baharunya yang penuh emosi itu.

Tempoh selama beberapa bulan ini terpaksa diambil Amira atas berikutan kekangan yang berlaku akibat pandemik Covid-19, sekali gus memperlahankan pelbagai proses karier seninya.

Namun, anak kelahiran Johor ini tidak mahu mengeluh, sebaliknya terus melaksanakan tugasannya dan kini, menyajikan buah tangan baharu kepada peminat.

“Apabila muzik video keluar agak lewat, memang awalnya saya berasa risau juga, tapi tak ada pilihan.

“Namun, bila saya fikirkan semula, lagu Surat Akhir ini pun sekarang baharu mula dimainkan di radio tempatan. Jadi, mungkin masanya juga sesuai,” katanya.

Menurutnya lagi, bagi peminat drama bersiri Marry Me Senorita, lagu Surat Akhir itu mungkin sudah tidak asing di telinga mereka.

“Sebelum ini, lagu Surat Akhir adalah OST untuk drama bersiri Marry Me Senorita. Mungkin ada dalam kalangan penonton drama itu pernah mendengarnya.

“Jadi, harapan saya adalah semoga kali ini, kehadiran muzik video Surat Akhir dapat menarik perhatian pendengar dari radio pula,” katanya.

Berkongsi mengenai cabaran untuk mempromosikan lagu ini dalam tempoh pandemik lebih-lebih lagi dalam perlaksaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Amira berkata, dia banyak menggunakan media sosial.

“Sejujurnya, saya sendiri pun takut untuk keluar rumah melainkan keadaan memerlukan untuk saya keluar.

“Jadi, kebanyakan promosi dan urusan berkaitan kerja saya lakukan secara ‘online’ seiring peredaran zaman.

“Media sosial juga menjadi platform utama yang saya gunakan. Memang satu cabaran baharu yang kita semua perlu biasakan,” katanya.

Tambahnya, dia perlu lebih bekerja keras di media sosial memandangkan tidak ada sebarang gimik yang dilakukan.

“Nak harapkan gimik, saya memang tak ada rancangan untuk buat gimik atau apa. Jadi, saya berharap usaha dan kerja keras saya di media sosial dapat dilihat ramai orang.

“Satu lagi, saya harap kualiti karya juga diterima baik oleh pendengar dan peminat muzik tanah air,” katanya.

Lagu menyentuh hati

Berkongsi mengenai pembikinan muzik video Surat Akhir, prosesnya benar-benar memberi pengalaman baharu dan menyentuh hatinya sebagai penyanyi.

“Dalam muzik video ini, saya berlakon sendiri dan melakonkan watak sebagai anak.

“Jadi, pelakon yang memegang karakter sebagai ayah saya dalam muzik video ini turut tersentuh dengan lagu ini.

“Ketika dia datang ke set penggambaran, dia minta untuk mendengar lagu ini. Secara tiba-tiba, dia menitiskan air mata,” katanya.

Jelasnya lagi, mesej yang disampaikan menerusi Surat Akhir adalah mengenai kematian.

“Kematian adalah satu fasa yang kita semua akan hadapi dan tak dapat dielak. Jadi, tentunya ia adalah kisah yang dekat dengan diri kita semua.

“Tentunya setiap daripada kita pernah kehilangan orang tersayang yang meninggal dunia.

“Jadi, ini juga menjadi satu peringatan buat saya dan semua yang mendengar, sekali gus mengubat hati mereka yang kehilangan orang yang tersayang sepanjang penularan Covid-19 ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.