Syarat import lembu diperketat

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengetatkan syarat import lembu hidup bagi mencegah penularan penyakit kulit kental/berbonjol (LSD) yang menular di beberapa negara Asia.

Berikutan itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) diminta memperkemaskan kawalan di pintu masuk negara.

Katanya, tindakan juga wajar diambil ke atas mana-mana lembu import yang menunjukkan gejala LSD di setiap stesen kuarantin.

Beliau berkata, MAFI memohon kerjasama penggerak industri termasuk pengimport, peraih dan perternak lembu supaya segera menghubungi pejabat JPV negeri atau daerah berdekatan jika mengesyaki ternakan lembu dalam jagaan atau kandang menunjukkan gejala LSD.

Katanya, persampelan akan dijalankan untuk tujuan pengesahan penyakit manakala ternakan lembu yang dijangkiti perlu diasingkan serta dilupuskan menerusi penyembelihan di rumah sembelih swasta dilesenkan.

“JPV mengaktifkan program pemantauan bagi mengesan, mengawal dan mencegah penularan penyakit LSD pada ternakan lembu di seluruh negara.

“Setakat ini, sebanyak 81,252 ekor ternakan lembu di 9,108 premis atau ladang diperiksa dan mendapati 89 ekor atau 0.1 peratus menunjukkan gejala jangkitan LSD dan sudah dilupuskan,” katanya.

Che Abdullah memaklumkan, berita tular berkaitan “Elakkan membeli daging segar yang dijangkiti penyakit lembu di Perak” adalah tidak benar.

Katanya, LSD tidak menjangkiti manusia dan menafikan gambar individu yang tular dengan gejala di bawah mata didakwa akibat dijangkiti LSD.

Che Abdullah berkata, walaupun LSD tidak menyebabkan kematian tinggi terhadap lembu, ia memberi kesan ekonomi kepada penggerak industri penternakan lembu dan kerugian akibat lembu menjadi kurus, penurunan pengeluaran susu, keguguran dan kemandulan kepada lembu jantan.

“Setakat ini, tiada rawatan khusus untuk penyakit LSD dan lembu yang dijangkiti boleh diberikan rawatan bagi mengelak jangkitan sekunder menerusi pemberian antibiotik, anti-radang dan vitamin,” katanya. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.