Syor wajibkan PPR baharu dipasang jeriji

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mewajibkan pemasangan jeriji bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu bagi mengelakkan insiden penduduk khususnya kanak-kanak terjatuh daripada kediaman tinggi berulang.

Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan selepas Aidilfitri dengan Menteri Wilayah Persekutuan serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Kejadian maut yang menimpa bayi perempuan berusia 11 bulan pada 2 Mei lalu selepas terjatuh dari tingkat tiga kediaman keluarganya di PPR Sri Aman tidak mungkin berlaku jika ada jeriji pada tingkapnya.

“Justeru kita mengusulkan semua pemaju PPR baharu memasang jeriji sebelum kediaman diduduki penduduk.

“Ini kerana kemalangan sebegitu boleh dielakkan jika kediaman unit tinggi dipasang jeriji,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat penyerahan jeriji kepada keluarga mangsa.

Bayi yang juga anak bongsu pasangan suami isteri, Norashikin Juliar dan Khairul Faizal Abdul Rahim masing-masing berusia 37 tahun itu, dikatakan terjatuh ketika bermain di atas katil dua tingkat yang diletakkan berhampiran tingkap.

Dominic berkata, keluarga terbabit terutama bapa kepada bayi itu akan diberikan sokongan psikologi oleh kaunselor supaya emosi mereka sekeluarga dapat dipulihkan serta mampu menjalani kehidupan mendatang.

“Ini kerana keluarga itu menerima kritikan di media sosial. Harapan kita, bapa, ibu dan anak-anak yang melihat kejadian itu kembali pulih kerana kehilangan ahli keluarga itu sangat menyayat hati.

“Bagi netizen berhentilah daripada terus mengkritik kerana tiada ibu yang sengaja mengabaikan atau tidak sayangkan anak, lebih baik beri kata-kata semangat untuk mereka menjalani kehidupan dengan positif,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.