KUALA LUMPUR: Sebagai tanda prihatin kepada nasib rakyat Palestin, atlet dan jurulatih sukan negara melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan secara dalam talian, di sini, hari ini.
Usaha dan solidariti kepada nasib rakyat di Palestin itu berjaya menarik penyertaan lebih 300 atlet dan jurulatih untuk bersama-sama menzahirkan rasa keprihatinan mereka terhadap isu semasa yang sedang berlaku di sana.
Antara atlet yang memberi sokongan adalah Luqman Al Hafiz Zulfa(gimnastik), Kirtana Ramasamy (olahraga), Tan Cheong Ming (wushu), Chew Wei Lun (boccia), Sarah Yap Khim Wen (taekwondo), Mohd Fauzi Khalid (silat) dan Cheah Like Hou (para badminton).
Selain itu, Farah Ann Abd Hadi (gimnastik), Mohd Fadhil Zonis (berbasikal), Wendy Ng Yan Yee (terjun), Muhammad Ziyad Zolkefli (para olahraga), Azizulhasni Awang (berbasikal) dan Datuk Nicol David (bekas atlet skuasy).
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan barisan atlet dan jurulatih yang mencetuskan ilham penubuhan tabung ini.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, memaklumkan Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan ini adalah satu usaha bersama dan sumbangan kecil warga sukan negara kepada kemanusiaan.
“Sukan adalah suara universal dan kita turut terkesan dengan isu-isu kemanusiaan yang berlaku di Palestin. Semoga sumbangan kecil ini, sedikit sebanyak dapat melengkapi keperluan mereka di sana,” katanya.
Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan ini dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan boleh menerima sumbangan sama ada daripada individu mahupun organisasi.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun bank, Affin Islamic, No Akaun: 105200000268 (Majlis Sukan Negara Malaysia) atas nama Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan.
Please share with others#KontinjenMALAYSIA#DemiMalaysia https://t.co/3f5iPF0fni pic.twitter.com/h1D3EshxSt
— MSN MALAYSIA (@MSNMALAYSIA) May 22, 2021
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian