Tadika tutup mengejut, ibu bapa kelam-kabut

Kebanyakan pusat yang mengendalikan kanak-kanak diarah tutup secara mengejut, mengakibatkan ramai ibu bapa terpaksa meninggalkan kerja untuk menjemput anak mereka. (Gambar Freepik)

GEORGE TOWN: Ibu bapa yang mempunyai anak kecil kelam kabut kerana tadika dan pusat jagaan kanak-kanak ditutup secara mengejut hanya sejam selepas operasinya bermula, akibat pembalikan peraturan pada saat akhir.

Tadika, pra-sekolah, dan pusat jagaan dibenarkan beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) supaya ibu bapa dapat pergi bekerja, menurut peraturan PKP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN)

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan (KPM) kemudian mengeluarkan notis kepada semua pengusaha pusat pendidikan swasta yang mengarahkan pra-sekolah, pusat jagaan, tadika, dan sekolah antarabangsa dalam kawasan PKP ditutup mulai hari ini hingga 6 Jun.

Di Pulau Pinang, di mana tiga daerah dan tiga mukim diletakkan bawah PKP, para ibu bapa terpaksa berkejar balik dari tempat kerja untuk mengambil anak mereka di tadika dan pusat jagaan, sejam selepas menghantar anak mereka ke sana.

Sebuah pusat jagaan kanak-kanak dan tadika di Air Itam diarahkan tutup oleh pejabat pendidikan daerah (PPD) secara tiba-tiba pada 10 pagi tanpa penjelasan lanjut, menurut pengusahanya, setelah murid-murid masuk pada 8.30 pagi.

Cawangan-cawangan lain pusat tersebut di daerah yang sama juga menerima arahan untuk menghentikan operasi.

“Pada hujung minggu, PPD beritahu kami bahawa tiada arahan menutup tadika atau pusat asuhan kanak-kanak. Jadi, kami beritahu ibu bapa, pusat kami akan kekal dibuka minggu ini.

“Jika kami dimaklumkan tentang penutupan ini awal-awal, kami boleh sahaja beritahu ibu bapa supaya tidak menghantar anak mereka,” kata pengusaha tersebut, yang tidak ingin dinamakan, kepada FMT.

Dalam notis PPD kepada pengusaha, semua pusat pendidikan swasta diarahkan menghentikan operasi mulai hari ini hingga 6 Jun.

Menurut notis tersebut, yang ditandatangani Bahagian Pendidikan Swasta, KPM, arahan penutupan tersebut melibatkan sekolah antarabangsa, pusat tuisyen, pusat perkembangan, pusat bahasa dan tadika swasta.

Pengecualian diberikan kepada mereka yang menduduki peperiksaan antarabangsa, seperti IGCSE, IBDP dan peperiksaan asing lain.

Notis tersebut menyarankan pusat-pusat pendidikan yang ditutup beralih kepada pembelajaran dalam talian.

Presiden Persatuan Pengusaha Institusi Pendidikan Pulau Pinang Lim Beng Suat berkata, lebih daripada 70 ahlinya yang mengendalikan pusat jagaan kanak-kanak, tadika dan pusat tuisyen menerima notis yang sama.

Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching, dalam catatan di Facebook, juga mendedahkan bahawa banyak pusat lain di Selangor dan kawasan parlimennya di Kulai menerima notis tersebut daripada pihak berkuasa pendidikan.

Beliau mempersoalkan mengapa pusat asuhan kanak-kanak kerajaan, bawah Jabatan Kebajikan, bagaimanapun dibenarkan beroperasi.

Seorang ibu, JS Lim, yang dilihat menjemput anaknya di sebuah pusat di Air Itam, berkata beliau dan suaminya bekerja, dan pusat jagaan penting kerana mereka tiada ahli keluarga lain yang boleh menjaga anaknya yang berusia tiga tahun.

“Saya tahu jumlah kes (Covid-19) sudah meningkat, tetapi kami tiada pilihan kecuali menghantar anak kami ke sini,” kata eksekutif berusia 34 tahun itu.

Seorang bapa, yang hanya ingin dikenali sebagai Sri, berkata beliau terpaksa memandu dari Bayan Baru ke pusat asuhan tersebut di Air Itam untuk menjemput anaknya, dan tersangkut selama sejam di sebuah sekatan jalan raya PKP.

“Patut beritahu kami awal-awal. Saya boleh sahaja hantar anak saya untuk dijaga mentua,” kata beliau.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy, yang juga pengerusi jawatankuasa pendidikan negeri, berkata tiada notis daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengarahkan penutupan pusat jagaan atau tadika semasa PKP.

“Kami tahu setiap PKP ada peraturan tersendiri. Kami tidak dimaklumkan mengenai penutupan ini, dan setakat yang kami tahu, pusat asuhan kanak-kanak dan tadika boleh kekal dibuka.

“Nampaknya masing-masing tak tahu apa yang pihak lain lakukan. Kita hanya boleh berharap mereka boleh selesaikan kekeliruan ini bersama-sama,” kata beliau.

Pengerusi jawatankuasa kebajikan negeri, Phee Boon Poh, pula berkata, sejumlah besar aduan telah diterima daripada ibu bapa di kawasan PKP di negeri ini, dengan kebanyakannya terpaksa pulang ke rumah akibat pengumuman mengejut ini.

Beliau berkata, menurut data negeri, terdapat 39 pusat jagaan (bagi kanak-kanak dan orang tua) pelbagai jenis, dan 26 taska atau pusat asuhan kanak-kanak di daerah Timur Laut yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan.

Secara keseluruhan, terdapat 105 pusat jagaan dan 132 pusat asuhan kanak-kanak di negeri tersebut.

FMT menghubungi KPM bagi mendapatkan komen.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.