Tahanan mati di Balai Polis Gombak ada sejarah penyakit jantung

Ketua Polis Daerah Gombak, Arifai Tarawe berkata, suspek itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis mengklasifikasikan kematian seorang tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada tengah hari Khamis sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Gombak, Arifai Tarawe berkata, suspek yang juga pengawal keselamatan berusia 43 tahun itu mempunyai sejarah penyakit jantung dan dilaporkan mengalami sesak nafas ketika berada di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Gombak.

“Pihak polis telah menghubungi Hospital Selayang untuk bantuan kecemasan.

“Pihak ambulans Hospital Selayang sampai di pejabat JSJ IPD Gombak dan memberikan rawatan kecemasan.

“Penolong Pegawai Perubatan Hospital Selayang kemudiannya mengesahkan saspek meninggal dunia pada 12.30 tengah hari,” katanya dalam kenyataan sambil memaklumkan suspek tiba di IPD Gombak pada 11.40 pagi Khamis.

Terdahulu, FMT melaporkan Sivabalan Subramaniam meninggal dunia kurang sejam selepas ditahan polis pada Khamis.

Adik perempuan Sivabalan, Thanalechumy berkata, beliau menerima panggilan pada 2.58 petang tadi dari IPD Gombak memaklumkan abangnya dalam keadaan serius di Hospital Selayang.

Katanya, kira-kira 4 petang, seorang polis memberitahu ibunya yang Sivabalan meninggal dunia kerana kesukaran bernafas. Mereka kemudiannya diminta ke Jabatan Forensik.

Kematian Sivabalan menyusul kurang sebulan selepas IPD sama terbabit dalam kontroversi kematian peniaga susu lembu, A Ganapathy dalam tahanan polis.

Ganapathy meninggal dunia di hospital pada 18 April lalu, lebih sebulan selepas dibawa dari balai polis itu ke Hospital Selayang pada 8 Mac.

Arifai berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gombak menahan suspek di hadapan pos pengawal sebuah kilang di Taman Selayang Baru, Gombak pada 11.20 pagi.

Katanya, suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, dilaporkan masih dikehendaki bersabit satu kes ugutan jenayah di IPD Gombak bagi tujuan dokumentasi.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan pihaknya sedang menunggu hasil bedah siasat Hospital Kuala Lumpur.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.