Tahanan mati terjun bangunan, polis siasat aspek kecuaian

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata suspek yang berada dalam tahanan reman itu menolak pegawai penyiasat yang membawanya semula ke lokap sebelum terjun melalui tingkap yang terbuka di tingkat dua.

PETALING JAYA: Polis Selangor akan menumpukan aspek kecuaian anggota dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan kes kematian seorang tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, semalam.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed dipetik oleh Berita Harian berkata, kes berkenaan kini diambil alih oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dan siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan.

Katanya, pegawai penyiasat yang berpangkat sarjan itu sudah ditukarkan serta-merta, sementara pihaknya menunggu hasil siasatan lanjut berhubung kes itu.

“Tindakan selanjutnya akan diambil selepas ini bergantung kepada hasil siasatan nanti.

“Kertas siasatan mati mengejut (SDR) turut dibuka selari dengan tujuan kita untuk tentukan punca kematian dan pemeriksaan di lokasi kejadian sudah dilaksanakan oleh JSJ IPK Selangor,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian pada jam 1.50 petang semalam, tahanan berusia 36 tahun itu mati ketika cuba melarikan diri selepas diambil keterangan oleh pegawai penyiasat mengenai kes kecurian tong gas.

Beliau berkata, suspek yang berada dalam tahanan reman itu kemudian dibawa oleh pegawai penyiasat kembali ke lokap sebelum bertindak menolak pegawai tersebut dan terjun melalui satu tingkap yang terbuka di tingkat dua.

“Tahanan jatuh di luar konkrit antara tingkat satu dan dua sebelum terjatuh ke atas sebuah motosikal di kawasan parkir.

“Ini menyebabkan keretakan pada bahagian tempurung kepala dan muka tahanan tersebut. Bedah siasat ke atas mayat tahanan itu akan dilakukan petang ini,” katanya.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.