Tak bergantung kerjaya anak seni

[email protected]

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Hazama tidak hanya bergantung pendapatan sebagai anak seni, apatah lagi, sektor hiburan tidak dibenarkan beroperasi dalam fasa sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan ketika tempoh mencabar ini.

Bagaimanapun, Hazama yang juga suami pemuzik, Genervie Kam bersyukur, dia mempunyai perniagaan asam laksa yang diusahakan bersama isterinya bagi memanfaatkan tempoh duduk di rumah.

Hazama atau nama penuhnya, Hazama Ahmad Azmi berkata, dia kini memberikan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan asam laksanya itu.

“Saya akui pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terjejas. Ini disebabkan kita sudah beberapa kali melalui tempoh PKP.

“Kerana ketika PKP, undangan persembahan memang tiada, namun saya bersyukur masih ada tawaran lakonan, tetapi apabila sekatan pergerakan penuh, aktiviti penggambaran dihentikan seketika.

“Jadi, saya sekarang fokus pada perniagaan asam laksa. Alhamdulillah, dalam masa sama ini, saya juga dapat mengembangkan perniagaan, di mana saya baru menerima slot dan kini sudah seminggu asam laksa dijual di platform Shopee,” katanya kepada BH Online.

Hazama ditemui ketika sidang media Sumbang Suara secara virtual bersama Datuk Awie dan hosnya, Elly Mazlein pada Ahad lalu.

Selain Awie, Hazama turut memegang tanggungjawab sebagai wakil netizen dengan gelaran Bang Zen dalam program berkenaan.

Pelantun lagu Peneman itu bersyukur apabila asam laksanya boleh dinikmati oleh pelanggan di luar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Ini adalah peluang terbaik memantapkan perniagaan. Apabila asam laksa dijual di Shopee, jualan lagi memberangsangkan, ada sahaja tempahan, setiap hari.

“Jadi, banyak yang sudah dipertingkatkan dari segi bahan, mesin dan sebagainya. Sememangnya, saya tengah fokus untuk membesarkan perniagaan ini.

“Sebelum ini, asam laksa boleh makan dalam masa sehari sahaja, tetapi sekarang, saya mahu meningkatkan pengeluaran supaya orang luar Kuala Lumpur dan Selangor juga boleh menikmatinya. Ia bermakna saya pasarkan asam laksa satu Malaysia berbanding sebelum ini,” katanya.

Hazama dan isteri mula menjalankan perniagaan asam laksa sejak dari PKP 1.0. Bagaimanapun, ketika itu Genervie hanya menjual asam laksa di kalangan jiran setempat, namun apabila mendapat sambutan baik, mereka meneruskan perniagaan berkenaan sehingga kini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.