‘Tak menang tangan sedia makanan untuk pesakit COVID-19’

PUTRAJAYA: Penyedia makanan kepada pesakit COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), mengakui pihaknya tidak menang tangan menyiapkan makanan yang jumlahnya semakin bertambah susulan peningkatan jumlah pesakit.

Pemilik Cengkih Catering, Mohd Abu Narahan Tahang, berkata kebiasaannya mereka diminta menyediakan makanan untuk 500 hingga 600 orang bagi setiap kali sarapan, makan tengah hari dan makan malam setiap hari, namun kini jumlahnya semakin bertambah hingga mencecah 1,000 orang.

Beliau berkata, bilangan makanan diminta MAEPS selalunya bertambah pada waktu malam, susulan peningkatan kemasukan pesakit.

“Contohnya pada waktu pagi, kami diminta sediakan makanan kepada 500 pesakit, tetapi apa bila tengah hari, pengurusan PKRC MAEPS akan telefon dan meminta kami sediakan makanan lebih banyak.

“Ini mungkin disebabkan bilangan pesakit dimasukkan ke PKRC MAEPS bertambah pada waktu malam,” katanya yang menggunakan khidmat 20 pekerja bagi menyediakan hidangan untuk pesakit COVID-19.

Pada 19 Mei lalu, Pengarah PKRC MAEPS, Dr Shahabuddin Ibrahim berkata, pihaknya bersedia membuka lebih banyak dewan di pusat berkenaan bagi menampung peningkatan kemasukan pesakit, terutama dari Lembah Klang.

Setakat ini, lima dewan sudah dibuka iaitu Dewan A, B, C, D1 dan DG bagi menempatkan pesakit COVID-19 kategori 1, 2, serta 3.

Mohd Abu Narahan, 41, berkata penyediaan bahan dan hidangan untuk PKRC MAEPS bermula seawal jam 2 pagi kerana makanan perlu dihantar sebelum jam 7 pagi.

Beliau berkata, pihaknya juga perlu menyediakan makanan diet untuk 40 hingga 50 pesakit COVID-19 yang menghidap diabetes dengan mengikut kriteria ditetapkan PKRC MAEPS termasuk melebihkan sayuran.

“Doktor akan periksa makanan diet dihantar dan jika tidak ikut spesifikasi ditetapkan mereka akan tolak.

“Saya bersyukur kerana setakat ini makanan daripada pihak kami tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Cengkih Catering, Siti Noor Yusuf, 43, berkata pengendalian makanan pesakit COVID-19 dilakukan dengan berhati-hati kerana pihaknya tidak mahu makanan dihantar diterima dalam keadaan tidak elok.

“Kami bungkus makanan seperti nasi lemak dan makanan lain mengikut bungkusan dikhaskan bagi mengelak makanan basi dan lain-lain.

“Semua pekerja juga diminta menjaga prosedur operasi standard (SOP) pengendalian makanan ditetapkan,” katanya. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.