Tak pakai pelitup muka, penternak lembu dikompaun RM1,500

[email protected]

Kota Bharu: Seorang penternak lembu dikompaun RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika sedang memberi makanan kepada ternakannya di hadapan rumah di Kampung Pasir Tok Kambing di sini, pagi tadi.

Kejadian jam 11.20 pagi itu, Nik Azman Nik Lah, 56, berada dalam jarak kira-kira 10 meter dari rumahnya.

Anaknya, Nik Muhammad Faris, 22, mendakwa ketika itu bapanya sedang memberi minuman dan makanan kepada lembu di hadapan rumah mereka.

Katanya, dia mengakui bapanya tidak memakai pelitup muka kerana berada dekat dengan rumah.

“Ketika sedang beri makan lembu, seorang lelaki tidak dikenali mendekati ayah untuk bertanya sesuatu dan ayah menjawabnya.

“Pada masa sama, polis dalam sebuah kereta ada berdekatan lokasi dan mereka sempat mengambil gambar ayah bersama lelaki tidak dikenali itu. Polis tanya sama ada ayah kenal atau tidak lelaki itu.

“Ayah jawab tidak kenal lelaki itu sebelum mereka meminta kad pengenalan dan ayah memberinya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Nik Muhammad Faris berkata, bapanya kemudian mengalihkan lembu berdekatan lokasi sebelum datang kembali ke lokasi polis berada.

“Sebaik ayah sampai, polis menyerahkan surat kompaun kepada ayah yang bertulis RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka.

“Ayah terkejut melihat jumlah itu kerana bagi kami ia terlalu banyak memandangkan ayah bergantung hidup dengan bekerja di kilang perabot dan sampingan dengan menternak lembu.

“Dengan hasil itu ayah menyara kami termasuk menanggung empat anak yang masih belajar,” katanya.

Menurutnya, dia berharap kompaun itu dapat dikurangkan memandangkan ketika kejadian bapanya berada di hadapan rumah.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kompaun dikeluarkan kerana penternak berkenaan bersama seorang lagi lelaki melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tidak memakai pelitup muka.

“Penternak berkenaan berbual tanpa penjarakan sosial, namun seorang lagi lelaki melarikan diri sebaik melihat anggota polis.

“Isu tular yang mengatakan lelaki ini disaman ketika hanya bersendirian adalah tidak benar kerana pihak penguat kuasa dapat melihatnya dengan jelas sedang berbual-bual dengan orang lain tanpa penjarakan sosial,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.