Tak sempat hantar tempahan, tauke dodol maut dirempuh

Keadaan kereta Perodua Axia yang dipandu Rohana Abdul selepas dirempuh sebuah Proton Persona di lampu isyarat di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin, Paya Rumput Indah, pagi tadi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Hasrat seorang pengusaha dodol menghantar sendiri tempahan pelanggan yang disedari tidak mencukupi, berakhir tragedi selepas kereta dipandunya dirempuh kenderaan lain di lampu isyarat di Lebuhraya Alor-Gajah-Melaka Tengah, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan itu berlaku pada 6.20 pagi, ketika Rohana Abdul, 42, cuba membuat pusingan U di lampu isyarat untuk ke bandar Melaka.

“Bagaimanapun, Proton Persona dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun dari arah Alor Gajah menghala ke bandar merempuh kereta mangsa.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala, manakala pemuda terbabit hanya alami dakit dada, paha dan leher.”

Sementara itu, anak sulung mangsa, Nur Aliyah Zaidi, 23, berkata, ibunya dimaklumkan berlaku kesilapan kerana dodol yang dihantar kepada pelanggan di Krubong malam tadi tidak cukup 1kg.

Oleh itu, ibunya yang juga pengasas Ana Dodol sejak 23 tahun lalu, berjanji akan menghantar 1kg dodol itu selepas subuh.

“Subuh tadi ibu minta pinjam kereta saya.

“Kira-kira 7 pagi, pintu bilik saya diketuk lagi, apabila saya buka, adik dan seorang pekerja maklumkan ibu maut dalam kemalangan,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Beliau berkata, ada pelanggan yang masih membuat tempahan kerana tidak mengetahui pemergian ibunya.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.