Tangani kes kematian tahanan, SUHAKAM, polis cadang mini klinik di lokap

SUHAKAM dan polis rancang tubuhkan unit kesihatan tahanan di lokap berpusat di empat negeri dan Kuala Lumpur. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Dengan pertambahan kes kematian membabitkan tahanan dalam lokap yang dilaporkan, unit kesihatan tahanan dicadang diwujudkan di lokap berpusat di empat negeri dan Kuala Lumpur.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sedang bekerjasama dengan polis bagi melancarkan unit kesihatan di lokap Bayan Baru, Pulau Pinang dan lokap Indera Mahkota di Pahang, seterusnya di Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah enam bulan selepas itu.

“Klinik kecil di lokap ini akan mempunyai cukup sumber untuk doktor, jururawat dan pembantu berada di sana bagi memeriksa tahanan yang dibawa masuk.

“Ini dalam jangka panjang, akan menghilangkan kecurigaan terhadap masalah penyalahgunaan atau penderaan (semasa) dalam tahanan polis,” kata Pesuruhjaya Jerald Joseph pada sidang media maya hari ini.

Joseph berkata, SUHAKAM sedang menyiasat enam kes kematian dalam tahanan, tiga daripadanya berlaku di penjara dan tiga lagi di lokap polis.

Katanya, SUHAKAM telah menyiasat 12 kes kematian dalam tahanan tahun lalu, di mana hanya satu kes yang mempunyai inkues. Sebahagian besar kematian adalah disebabkan oleh komplikasi kesihatan.

Berikutan itu katanya, sangat penting untuk menempatkan pegawai perubatan di lokap bagi memastikan jumlah kematian dalam tahanan diturunkan.

Angka terbaharu menunjukkan, terdapat 405 kematian di penjara pada 2019, di mana kebanyakan meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan.

Joseph berkata, SUHAKAM menganggarkan terdapat kira-kira 1,000 pelarian Rohingya yang ditahan di pusat tahanan imigresen. Sehingga April tahun lalu, terdapat juga 16 pelarian bukan Myanmar, dengan lima daripadanya warga Palestin.

Menurutnya, kerajaan sedang merangka dasar dalam memproses dan membuat verifikasi pelarian dan pencari suaka di negara ini, walaupun belum ada perkembangan terbaru mengenai kemajuannya setakat ini.

Beliau berkata, tidak perlu untuk kita menafikan akses Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) ke pusat tahanan sementara menunggu dasar itu dilaksanakan.

“Ini adalah cara yang baik untuk kerajaan terlibat dalam pemprosesan pencari suaka tetapi itu tidak perlu menghalang sistem yang ada sekarang,” katanya.

“Menghentikan UNHCR bermakna lebih 1,000 tidak memiliki akses untuk memeriksa kesahihan tuntutan mereka sebagai pencari suaka.”

Sementara itu, Pesuruhjaya Kanak-kanak SUHAKAM, Noor Aziah Mohd Awal, berkata terdapat sebilangan besar pelarian kanak-kanak masih ditahan.

Sebahagian mereka tiba di pusat tahanan tanpa ditemani, menimbulkan rasa curiga dalam isu pemerdagangan kanak-kanak, manakala mereka yang datang bersama keluarga terpaksa berpisah dengan ibu bapa ketika berusia sekitar 10 tahun.

Noor Aziah berkata, keadaan semasa di pusat tahanan juga tidak sesuai untuk bayi dan anak kecil.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.