Tangani ‘sekatan’ pembabitan GP swasta beri vaksin

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyelesaikan pelbagai ‘sekatan’ untuk menggunakan perkhidmatan pengamal perubatan (GP) sektor swasta bagi mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr M Subramaniam, ketika menyuarakan gesaan itu berkata percaturan sedemikian wajar dilakukan secepat mungkin demi meningkatkan kadar inokulasi atau pemberian suntikan vaksin kepada penerima.

Menerusi bantuan 2,500 GP swasta ketika ini, beliau berkata sebanyak 75,000 dos suntikan pelalian berupaya diberikan kepada penerima, sekali gus menyumbang kepada usaha kerajaan ke arah mencapai imuniti kelompok.

“Menyedari hakikat sumbangan GP swasta, Menteri Penyelaras PICK (Khairy Jamaluddin) sepatutnya giat melakukan libat urus untuk memastikan lebih banyak GP swasta tampil membantu mempercepatkan kadar inokulasi, bukan sekadar 2,500 GP saja.

“Malangnya, hingga kini tiada sebarang libat urus diadakan antara Khairy dan GP swasta dalam pemberian suntikan vaksin fasa kedua dan ketiga, malah MMA sudah mengirimkan surat rasmi berhubung hal ini pada 2 Mac lalu.

“Bagaimanapun, sehingga kini, tiada sebarang maklum balas daripada surat yang menyatakan permohonan kami untuk bertemu dengan Khairy bagi menyelaras kadar pelaksanaan PICK, menerusi bantuan GP swasta.

“Ia seolah-olah Menteri tidak langsung menunjukkan minat untuk mendapatkan bantuan lebih banyak GP swasta, meskipun prestasi semasa menunjukkan pendekatan ini berupaya meningkatkan kadar harian pemberian suntikan vaksin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairy menerusi sidang media semalam memaklumkan bahawa Protect Health Corporation Sdn Bhd hanya menerima kira-kira 2,000 permohonan daripada GP swasta untuk terbabit dalam pelaksanaan PICK dan sekitar 1,400 sudah dilantik bagi memberikan suntikan vaksin kepada penerima di negara ini.

Beliau berkata, semua pengamal perubatan swasta perlu memenuhi syarat ditetapkan, malah bukan semua yang mempunyai kemampuan menyediakan peti sejuk khas bagi penyimpanan vaksin COVID-19.

Dr Subramaniam menaruh kepercayaan sebarang isu berbangkit berhubung usaha mendapatkan bantuan GP swasta bagi mempercepatkan pelaksanaan PICK berupaya dirungkai menerusi perbincangan secara dalam talian.

“Khairy mengadakan sesi Zoom dengan media hampir saban hari, tetapi kenapa pendekatan sama tidak boleh dibuat bersama 8,000 GP swasta di negara ini?

“Libat urus supaya lebih ramai GP swasta terbabit dalam PICK penting kerana perkembangan semasa menyaksikan kebanyakan masyarakat cenderung untuk mendapatkan suntikan pelalian di hospital swasta.

“Justeru, permudahkan urusan ini dan MMA bersedia membantu kerajaan kerana kami seperti seluruh rakyat Malaysia juga berhasrat untuk menamatkan pandemik COVID-19 secepat mungkin menerusi pemberian vaksin,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.