Tawarkan syarikat buat CSR beri vaksin

[email protected]

KOTA KINABALU: Kerajaan disaran membuka tawaran kepada syarikat korporat untuk membeli vaksin dan melaksanakan program imunisasi COVID-19 sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau, berkata langkah itu perlu difikirkan bagi membantu kerajaan dalam usaha mempercepatkan pemberian vaksin COVID-19 bagi mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

Syarikat besar seperti PETRONAS, Shell dan lain-lain mampu membiayai program itu wajar diberi peluang untuk bersama-sama kerajaan melaksanakan pemberian vaksin di seluruh negara.

“Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sebelum ini menyatakan program imunisasi boleh selesai pada November ini tetapi berdasarkan keadaan sekarang, UPKO berpendapat pertengahan tahun depan pun belum tentu selesai.

“Sebabnya semua berada di tangan kerajaan, menyebabkan kapasiti yang mampu ditampung adalah terhad. Jadi kenapa tidak kerajaan benarkan syarikat korporat, selain kerajaan negeri untuk membeli vaksin dan melaksanakan program pemvaksinan sebagai CSR.

“Maknanya program vaksinasi perlu inklusif, semua pihak terbabit,” katanya pada sidang media hari ini.

Isu vaksin adalah antara sembilan perkara yang dibawa UPKO ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menerusi persidangan video, hari ini.

Madius berkata kerajaan juga perlu menambah jenis vaksin yang diberikan kepada rakyat negara ini berdasarkan kelulusan yang dibuat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pada masa sama, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata kerajaan perlu menyelesaikan kecelaruan mengenai pendaftaran program vaksinasi terutama di Sabah, berikutan ramai mendapat lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) yang jauh dari tempat tinggal termasuk ada yang diberikan lokasi di Semenanjung.

Selain itu, UPKO turut bersetuju agar kerajaan memberikan vaksin kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mencapai imuniti kelompok, terutama di Sabah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.