Temui ajal di Kanada angkara Covid-19

[email protected]

Kuala Lumpur: “Abang sempat meminta maaf pada saya kerana tidak menjawab panggilan telefon dan memaklumkan terlalu penat dan sedang tidur,” itulah perbualan terakhir Putri Shazana Megat Abdul Rahim sebelum abangnya meninggal dunia di Kanada akibat jangkitan Covid-19.

Putri Shazana, 34, berkata, dia sempat bercakap dengan Megat Khalis Raus Megat Abdul Rahim, 35, dua hari sebelum arwah disahkan meninggal dunia pada 9 Mei lalu iaitu empat hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.

Menurutnya, kematian abangnya hanya diketahui selepas pihak polis melakukan pemeriksaan di kediaman abangnya itu di Edmonton, Alberta, Kanada dan mendapati Megat Khalis seperti dalam keadaan tidur.

“Abang saya yang dikejarkan ke hospital bagi tujuan bedah siasat, namun saya tidak bersetuju kerana tidak mahu menyeksa jenazah dan mereka terus menyerahkan jenazah kepada pihak masjid.

“Pengebumian arwah diuruskan sahabat kami yang berada di sana kerana arwah tinggal bersendirian dan tidak mempunyai keluarga terdekat.

“Sahabat kami adalah seorang jururawat di sana, dia yang uruskan segalanya dan pergi ke masjid walaupun dia bukan Islam kerana dia tahu arwah tiada keluarga di Kanada,” katanya ketika dihubungi.

Jenazah arwah Megat Khalis Raus diuruskan di Masjid Ar-Rashid dan dikebumikan pada 11 Mei lalu di tanah pengebumian di bandar Edmonton, Alberta yang baru dibuka.

Putri Shazana berkata, dia mahu jenazah arwah dikebumikan di Malaysia, namun disebabkan kekangan pandemik Covid-19 dan mereka harus menunggu lebih sebulan sekiranya ingin membawa pulang jenazah ke Malaysia, mereka membuat keputusan untuk mengebumikan arwah di Kanada sahaja.

Menurutnya, dia mengetahui arwah abangnya dijangkiti wabak Covid-19 kerana sering berhubung dan setiap hari bertanya keadaan arwah setelah disahkan positif.

“Setiap hari saya hubungi arwah dan menasihati dia supaya banyakkan minum air masak, jangan lupa makan serta sentiasa menjaga diri.

“Sekarang apabila dapat tahu arwah abang sudah tiada, saya seperti tidak percaya. Namun, saya tidak boleh buat apa-apa kerana sudah ajal arwah,” katanya.

Putri Shazana berkata, dia memaklumkan berita mengenai pemergian Megat Khalis Raus kepada bapanya, Megat Abdul Rahim Megat Khas, yang kini menetap di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menurutnya, bapanya memerlukan masa untuk menerima ketentuan itu kerana masih terasa kehilangan anak lelaki sulung dan paling istimewa dalam hidupnya.

“Arwah Megat Khalis Raus berada di luar negara sejak enam tahun lalu dan mendapat taraf penduduk tetap di Kanada.

“Semasa di luar negara, arwah sering menghadiri temu duga bagi mendapatkan pekerjaan setaraf dengan tahap pendidikannya dalam bidang kejuruteraan, namun masih belum mempunyai rezeki.

“Arwah abang saya semasa hidupnya sangat baik hati dan seorang yang sangat pemurah,” katanya.

Putri Shazana berkata, arwah abangnya adalah anak sulung daripada empat adik beradik dan kini dia harus menggalas tanggungjawabnya sebagai anak sulung, selepas pemergian arwah.

Menurutnya, hubungan dia dan arwah sangat rapat dan mereka sentiasa ada untuk satu sama lain, terutama selepas pemergian arwah ibu.

“Kami memang rapat dan sentiasa ada untuk sesama sendiri. Disebabkan Covid-19, arwah kata dia tiada duit, jadi saya ada berikan kepada dia dan itu tidak menjadi masalah kepada saya.

“Kali terakhir saya melihat arwah abang adalah tiga tahun lalu, pada hari jadinya kerana arwah berjanji untuk pulang ke Malaysia dan menyambut hari jadi saya bersama,” katanya.

FOTO Ihsan Putri Shazana Megat Abdul Rahim

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.