TFC bangkit dari ‘tragedi’

[email protected]

Kuala Terengganu: Bangkit daripada ‘tragedi’ kekalahan minggu lalu selain meledak dua gol awal ketika permainan baharu berlangsung sembilan minit begitu melegakan pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain.

Malah pengendali kelahiran Kelantan itu akui anak buahnya tidak tertekan biarpun dipalit kekalahan memalukan kepada Penang FC 1-4 di tempat sendiri Sabtu lalu, sebaliknya mereka tampil lebih agresif bermula pada minit pertama perlawanan untuk memburu kemenangan.

Lebih menggembirakan Nafuzi dan dua pembantunya, Tengku Hazman Raja Hassan serta bekas kapten negara, Rosdi Talib, skuad kendaliannya berjaya merampas kembali kedudukan kedua Liga Super berbanding tempat keempat sebelum ini.

“Dalam perlawanan sebelum ini pun memang kita rancang untuk mencari jaringan awal, pemain pun tahu, tapi belum temui sentuhan, Alhamdulillah pada malam ini (semalam) ianya berhasil.

“Tahniah buat semua pemain kerana dapat kutip tiga mata penting selepas kita tewas kepada Penang FC minggu lalu, dengan apa pemain tunjuk dalam padang walaupun beraksi pada bulan puasa mereka nampak kepenatan, tapi tetap berusaha keras untuk merakam kemenangan.

“Bagaimanapun saya akui bukan tugas mudah buat anak buah saya mengutip mata penuh berdepan skuad itu, lagipun UiTM FC bermain dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan berdepan UiTM FC dengan kemenangan 3-0.

Dalam perlawanan itu, pada sembilan minit pertama, skuad Penyu sudah berada di depan menerusi jaringan penyerang utamanya, David Da Silva pada minit ketujuh dan disusuli gol kedua, dua minit kemudian hasil jaringan cantik Faisal Halim manakala jaringan ketiga menerusi rembatan kencang Mohamad Rahmat Makasuf pada babak kedua.

Ketika ditanya adakah perubahan kesebelasan utama pasukan antara faktor kejayaan skuadnya, Nafuzi akui kerjasama semua pemain selain disiplin tinggi adalah kunci kejayaan pasukannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.