Warning: fopen(/tmp/alcjlouHTxWd-0aA8OC.tmp): failed to open stream: Disk quota exceeded in /home/neotizen/public_html/wp-admin/includes/class-wp-filesystem-ftpext.php on line 139

Warning: unlink(/tmp/alcjlouHTxWd-0aA8OC.tmp): No such file or directory in /home/neotizen/public_html/wp-admin/includes/class-wp-filesystem-ftpext.php on line 142

Thailand guna ‘diplomasi senyap’ rungkai krisis di Myanmar

BANGKOK: Thailand menggunakan pendekatan ‘diplomasi senyap’ bagi mencari penyelesaian secara damai berhubung krisis politik di Myanmar.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Tanee Sangrat, berkata Thailand sedang memantau situasi semasa di Myanmar sejak peralihan kepemimpinan Aung San Suu Kyi berikutan rampasan kuasa yang didalangi tentera 1 Februari lalu.

“Thailand sedia maklum jangkaan komuniti antarabangsa dan kerumitan situasi di Myanmar. Kita mengikuti perkembangan yang berlaku di Myanmar secara dekat dan penuh kebimbangan, khususnya membabitkan insiden keganasan di kebanyakan kawasan negara itu.

“Kita sentiasa bersedia untuk memberikan lebih banyak pertolongan bagi menyumbang secara konstruktif sebagai rakan baik kepada semua pihak di Myanmar dan anggota keluarga ASEAN.

“Kebanyakan usaha dirintis Thailand mungkin tidak diketahui umum memandangkan kita sentiasa percaya bahawa ‘diplomasi senyap’ antara negara jiran lebih berkesan dan sejajar tradisi diplomasi Thailand,” katanya dalam kenyataan.

Tanee berkata, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar, Don Pramudwinai dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan dari China, Wang Yi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-China dan Mesyuarat Kerjasama Menteri-Menteri Luar Lancang-Mekong Keenam di Chongqing, China, mulai hari ini hingga 8 Jun.

Ia antara lain bagi membincangkan mengenai kerjasama dua hala, pembangunan serantau dan situasi semasa yang berlaku di Myanmar.

Sebagai jiran Myanmar, Tanee berkata, Thailand sangat sedih dengan siri keganasan dan insiden kematian dilaporkan di negara itu.

“Thailand sekali lagi menyuarakan gesaan supaya situasi semasa di Myanmar kembali reda, keganasan dirungkai, semua tahanan dibebaskan dan penyelesaian secara aman menerusi penganjuran dialog menggunakan saluran konstruktif dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sekurang-kurangnya 845 orang terbunuh oleh pasukan keselamatan Myanmar dan lebih 4,500 individu dipenjarakan sejak rampasan kuasa oleh junta tentera.

Selari tradisi kemanusiaan, Tanee berkata, pihaknya akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar yang terpaksa lari mencari tempat perlindungan kerana bimbang dengan keselamatan masing-masing.

Jumaat lalu, Myawaddy TV melaporkan ketua junta, Min Aung Hlaing mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung ASEAN, Lim Jock Hoi dan Menteri Kedua bagi Hal Ehwal Luar Pengerusi ASEAN Brunei di Naypyidaw, Erywan Yusof.

Media tempatan melaporkan mesyuarat itu antara lain membincangkan pelbagai isu, termasuk kerjasama Myanmar terhadap isu kemanusiaan dan mengadakan pilihan raya selepas negara itu kembali stabil. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.