Thailand mula vaksinasi Covid-19 hari ini

Bangkok: Thailand memulakan kempen vaksinasi Covid-19 besar-besarannya hari ini, dengan sasaran untuk memberikan perlindungan kepada 70 peratus populasi menjelang hujung tahun ini bagi mencapai imuniti kelompok.

Kempen berkenaan dimulakan dengan penggunaan vaksin AstraZeneca yang dihasilkan secara tempatan oleh Siam Bioscience Co Ltd (Siam Bioscience) dan Sinovac dari China.

Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha yang melawat Pusat Vaksinasi Utama di Bang Sue Grand Station – hab komuter baru yang diubah menjadi pusat pemberian suntikan, memberi jaminan semua individu akan diberi pelalian berkenaan.

“Hari ini adalah permulaan usaha vaksinasi di seluruh negara. Jumlah yang memohon lebih tinggi. Namun, lebih banyak vaksin akan dihantar seperti dijadualkan,” katanya selepas lawatan ke pusat pemberian vaksin.

Dengan bermulanya kempen berkenaan, Thailand menjangka untuk memberikan kira-kira 500,000 suntikan sehari.

Sehingga kini, terdapat 986 pusat pemberian vaksin di seluruh negara.

Di Bangkok, pusat beli-belah seperti Siam Paragon dan Iconsiam serta stadium bekerjasama dengan hospital untuk kempen pemberian vaksin.

Mereka yang berusia lebih 60 tahun dan individu yang mempunyai penyakit menjadi antara terawal menerima suntikan.

Setakat tengah hari ini, seramai 143,000 individu sudah menerima suntikan, termasuk 73,000 berusia lebih 60 tahun.

Thailand memulakan kempen awal vaksinasi dengan pemberian suntikan kepada kakitangan perubatan dan sedikit lewat berbanding beberapa negara berhampiran.

Sementara itu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin berkata, Thailand merancang untuk memberikan enam juta dos AstraZeneca dan Sinovac bulan ini.

Sehingga kini, Thailand berjaya menempah 61 juta dos AstraZeneca dan 6.5 juta dos Sinovac.

Ia dijangka menandatangani kontrak tempahan 20 juta dos vaksin keluaran Pfizer/BioNTech minggu ini.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand merekodkan 2,419 kes baru Covid-19 dan 33 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan 179,886 kes dan 1,269 kematian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.