Tiada kompaun individu makan dalam kereta di Sitiawan

[email protected]

Manjung: Polis mengesahkan tidak mengeluarkan sebarang kompaun atau menahan mana-mana individu yang didapati makan dalam kereta di Sitiawan, di sini.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, setakat ini, pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan berhubung perkara itu.

“Saya sudah melihat video itu dan mengesahkan hasil semakan mendapati tiada kompaun atau individu ditahan kerana makan makanan yang dibungkus dalam kenderaan mereka.

“Kita tidak pasti motif sebenar video yang dibuat lelaki terbabit, malah kenyataan dan gambaran diberikannya juga tidak jelas jika benar dia dikompaun atau dilarang dari makan dalam keretanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video tular memaparkan seorang lelaki mendakwa mempunyai surat kebenaran dan datang ke Sitiawan dari Ipoh tanpa menyebut tujuannya.

Menurutnya, individu itu dipercayai salah faham dengan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail mengenai premis makanan yang menyediakan perkhidmatan ‘park & dine’ di dalam kereta adalah melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, pihaknya amat kesal dengan penyebaran video itu kerana dikhuatiri akan memberi gambaran tidak jelas dan kekeliruan kepada orang ramai.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat lebih jelas daripada pihak berkaitan dan tidak menularkan atau membuat video yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya.

Dalam video yang tular itu, lelaki berkenaan mendakwa dia lapar dan mempersoalkan mengapa perlu membawa balik makanan yang dibelinya ke Ipoh untuk dimakan.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan tidak menyebut secara jelas sekiranya pihak berkuasa berkaitan melarangnya makan dalam kenderaan.

“Aku ada rentas negeri punya surat, aku daripada Ipoh datang Sitiawan. Sekarang aku beli nasi, takkan nasi ni aku nak bungkus balik kepada (ke) Ipoh baru makan.

“Aku laparlah, aku mesti makan sekarang jugalah takkan 100 kilometer aku bungkus nasi nak balik rumah (baru) makan,” katanya dalam video itu.

Semalam, Aidi dipetik sebagai berkata, tindakan kompaun boleh dikenakan ke atas pengusaha premis yang menyediakan layanan ‘park & dine’ kepada pelanggan di Sarawak.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • © New Straits Times Press (M) Bhd

    Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.