Tiada pilihan, usahawan perlu guna kaedah digital atau e-dagang.

Putrajaya: Usahawan disaran mengadaptasi teknologi terkini dalam model perniagaan mereka dan mengambil langkah yang sewajarnya untuk berhijrah kepada model perniagaan secara digital atau e-dagang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, berdasarkan keadaan pandemik Covid-19 yang masih lagi belum reda, peniaga tidak lagi boleh bergantung kepada operasi perniagaan yang konvensional.

“Untuk berjaya, usahawan perlu berani, dinamik dan sentiasa bersedia untuk membuat perubahan yang sewajarnya supaya dapat mengadaptasikan diri dalam pelbagai keadaan dan situasi.

“Saya faham, mungkin ramai yang kurang selesa pada perubahan ini. Namun, ia penting dalam memastikan kelangsungan perniagaan anda dalam keadaan yang serba tidak menentu ini,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Bazar Jualan Murah Raya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) di sini, tadi.

Katanya berdasarkan kajian yang dijalankan oleh kementeriannya, secara amnya kini lebih ramai pengguna yang semakin selesa untuk membuat pembelian secara dalam talian.

Beliau berkata, kajian yang dilakukan kementerian selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dari 24 Feb hingga 5 Mac lepas, menunjukkan 57.74 peratus daripada 2,888 responden kini lebih kerap membuat pembelian secara dalam talian berbanding dengan hanya 19.23 peratus sebelum ini.

Selain itu, katanya 62 peratus daripada responden juga menyatakan bahawa mereka kini lebih suka membuat pembayaran secara dalam talian berbanding transaksi tunai secara fizikal.

“Hasil daripada kajian ini jelas menunjukkan perubahan trend pengguna yang semakin IT Savvy dan cenderung kepada e-dagang. Mungkin disebabkan oleh pergerakan yang terbatas, lebih ramai pengguna menghabiskan masa melayari Internet dan lebih selesa untuk membuat pembelian secara dalam talian.

“Sama ada anda suka atau tidak, e-dagang adalah masa depan. Justeru itu, penting bagi usahawan untuk mempunyai kehadiran secara digital yang mantap supaya mudah pelanggan mencari mereka secara dalam talian,” katanya.

Pada sidang media sama, Wan Junaidi berkata, sejak hari pertama penganjuran Bazar Jualan Murah Raya MEDAC pada Khamis lalu sehingga semalam, sebanyak RM114,877 jualan fizikal berjaya dihasilkan manakala jualan dalam talian merekodkan transaksi RM2,000.

“Ini jualan murah kali pertama kami buat secara hibrid iaitu bazar fizikal dan pelanggan juga boleh menempah secara dalam talian.

“Dalam suasana negara berdepan dengan penularan COVID-19, konsep bazar hibrid ini juga mencerminkan kejayaan para usahawan, koperasi dan pembeli dalam menyesuaikan diri dengan keadaan semasa,” katanya.

Seramai 57 usahawan, koperasi, pengusaha trak makanan serta penjaja dan peniaga kecil mengambil bahagian dalam program bazar itu, dengan antara barangan yang dijual ialah beras, minyak masak, tepung, gula, kuih raya, pakaian dan pelbagai barangan keperluan lain.

Bazar Jualan Murah Raya MEDAC itu dilaksanakan dengan kerjasama agensi-agensi di bawah MEDAC antaranya Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institusi Koperasi Malaysia, Perbadanan Nasional Bhd dan UDA Holdings Bhd.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.