Tiada ‘walk in’ untuk dapatkan vaksin

PUTRAJAYA: Pemberian vaksin secara ‘walk-in’ tidak dibenarkan di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara, kata Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF).

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak menunggu di mana-mana PPV termasuk di PPV AstraZeneca dengan harapan untuk mendapatkan vaksin yang tidak digunakan akibat ketidakhadiran penerima vaksin berjadual pada hari ditetapkan.

CITF berkata, pihaknya sudah membangunkan satu mekanisme untuk menghindari pembaziran vaksin tanpa mengganggu perancangan logistik di PPV, selain dapat mengelakkan kesesakan terutama ketika kes COVID-19 harian meningkat.

“Secara amnya, semua PPV akan mempunyai senarai individu daripada pangkalan data yang akan mereka hubungi melalui pesanan ringkas atau telefon.

“Individu yang dihubungi akan ditanya sama ada mereka berminat mendapatkan vaksin dan sama ada mereka dapat hadir ke PPV pada hari itu juga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

CITF berkata, bagi PPV AstraZeneca pula, satu senarai menunggu iaitu senarai nama mereka yang sudah menempah slot menunggu ketika penempahan untuk suntikan vaksin AstraZeneca digunakan sebagai asas.

“Mereka yang dipilih menerusi senarai ini akan dimaklumkan melalui notifikasi di MySejahtera, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon.

“Jadi, CITF ingin menggesa orang ramai tidak hadir di PPV tanpa sebarang urusan dan janji temu serta tidak perlu berlegar atau menunggu di PPV bagi mendapatkan vaksin tanpa janji temu,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial orang ramai bersesak di hadapan pintu pagar PPV Dewan Sri Guchil, Kuala Krai, di Kelantan yang berpunca daripada mereka yang sedang menunggu giliran bagi mendapatkan suntikan vaksin secara ‘walk in’. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.