Tiga ditahan terbabit judi dalam talian

[email protected]

Kuala Lumpur: Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian menerusi serbuan di sebuah premis di Jalan Sri Sentosa 8A, Taman Sri Sentosa, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya membuat serbuan di lokasi berkenaan jam 9.30 malam.

“Pemeriksaan mendapati tiga lelaki berada di premis terbabit bersama peralatan yang disyaki digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian.

“Susulan itu, kami menahan ketiga-tiga lelaki berusia antara 39 hingga 43 tahun serta merampas enam tablet, dua set wifi dan wang tunai berjumlah RM160,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, soal siasat mendapati mereka mengaku terbabit dengan aktiviti perjudian dalam talian.

“Seorang daripada suspek bekerja sebagai pengendali tablet judi selama sebulan dengan gaji kira-kira RM1,500 sebulan, manakala dua lagi suspek adalah pelanggan.

“Tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk tindakan lanjut dan akan dibawa ke Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan reman,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti perjudian tidak berlesen.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.