TNB pastikan bekalan elektrik stabil sepanjang sekatan penuh pergerakan

[email protected]

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan terus menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada 9.5 juta pelanggannya sepanjang pelaksanaan fasa pertama sekatan penuh pergerakan sehingga 14 Jun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din, berkata selain memastikan penjanaan tenaga stesen jana kuasanya lancar, warga kerja kritikalnya juga akan kekal bertugas bagi memastikan pembekalan elektrik berterusan dan stabil.

Beliau berkata, TNB secara berterusan menyokong usaha kerajaan memutuskan rantaian COVID-19 dan dalam tempoh sekatan penuh pergerakan, pelbagai langkah sudah dan sedang diambil bagi memastikan stesen jana kuasanya beroperasi dengan baik.

“Di barisan hadapan, hampir separuh daripada 35,000 warga kerja TNB akan terus bekerja bagi memastikan pelanggan mendapat perkhidmatan terbaik.

“Ini termasuk warga kerja teknikal di bahagian Grid dan Pembahagian membabitkan kakitangan yang melaksanakan penyambungan serta pemulihan bekalan elektrik,” katanya.

Baharin berkata, pembacaan meter TNB berjalan seperti biasa sepanjang tempoh ini, manakala aktiviti pemotongan bekalan ditangguhkan sehingga 30 Jun.

Katanya, bagi memudahkan pengguna domestik menguruskan pembayaran bil elektrik, Pelan Bayaran Mudah dilanjutkan hingga 31 Disember ini.

“Kerajaan juga mengumumkan pelanjutan pemberian diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus kepada beberapa sektor selama tiga bulan tambahan bermula Julai hingga September.

“Kedai Tenaga pula masih beroperasi, namun dalam tempoh lebih singkat, justeru pengguna digalak menggunakan kemudahan transaksi dalam talian, antaranya menerusi portal dan aplikasi myTNB,” katanya.

Sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, pengguna diminta menghubungi TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB CareLine.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.