KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd mengulangi komitmen bekerjasama rapat dengan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS).
Ia bagi menyelesaikan isu berkaitan perintah tahanan pelepasan (WRO) dan penemuan penggunaan buruh paksa terhadapnya.
Pembuat sarung tangan itu dalam satu kenyataan menjelaskan komitmen itu dibuat susulan penahanan oleh CBP AS ke atas 4.68 juta sarung tangan getah yang dihantar ke Kansas City, Missouri.
Menurut Top Glove pihaknya sudah menyediakan penyerahan kesemua 11 indikator buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa yang diperbaiki, seperti yang disahkan oleh perunding antarabangsa bebas berpangkalan di United Kingdom, Impactt Ltd dalam laporannya bertarikh 22 April 2021.
CBP AS dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu lalu memaklumkan pegawainya di Pelabuhan Kansas City, Missouri menahan 4.68 juta sarung tangan getah bernilai kira-kira AS$690,000 (RM2.85 juta) yang dihasilkan oleh anak syarikat Top Glove.
Penahanan itu dilakukan selepas maklumat menunjukkan sarung tangan berkenaan didakwa dihasilkan oleh buruh paksa, jelas pengawal selia itu.
-BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian