Trudeau kecam ‘pengganas’ akibatkan kematian 4 Muslim sekeluarga

OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, semalam mengecam insiden yang disifatkan sebagai ‘serangan pengganas’ dan didorong oleh kebencian susulan kematian empat daripada lima sekeluarga Islam yang dirempuh sebuah trak ‘pikap’ dan menggesa rakyat tidak menjauhi sikap tidak bertoleransi terhadap agama.

“Kejadian pembunuhan ini bukan satu kemalangan, sebaliknya ia adalah serangan pengganas yang didorong oleh kebencian yang bersarang dalam hati salah seorang rakyat dalam komuniti kita.

“Kita semua perlu berhati-hati dan Kanada tidak sesekali berkompromi dengan serangan sedemikian yang turut pernah berlaku di negara lain,” katanya dalam ucapan penuh emosi di Dewan Rakyat.

Mangsa serangan yang terkorban pada Ahad lalu sudah dikenal pasti sebagai Madiha Salman, 44 tahun, bekerja dalam bidang kejuruteraan awam dan alam sekitar; suaminya, Salman Afzaal, 46 tahun; anak perempuan mereka, Yumna Salman, 15; dan nenek berusia 74 tahun, yang tidak dinyatakan namanya.

Dalam kejadian itu, anak pasangan berkenaan iaitu kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun adalah satu-satunya individu yang terselamat dan dilaporkan beransur pulih.

Difahamkan, keluarga terbabit berasal dari Pakistan.

Reputasi Kanada yang sebelum ini bersih daripada isu berkaitan keganasan berkaitan agama tercalar sejak beberapa tahun kebelakangan ini susulan beberapa insiden jenayah bermula pada 2017 membabitkan serangan tembakan di sebuah masjid di Quebec yang mengakibatkan enam terkorban.

Populasi Muslim di negara itu yang mewakili cuma tiga peratus turut terkesan dan terancam susulan insiden serangan menyasarkan umat Islam.

Malah, beberapa organisasi Muslim turut menuntut tindakan diambil bagi mengekang kumpulan pelampau kanan. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.