WASHINGTON: Majlis sambutan hari lahir bertukar tragedi apabila seorang lelaki melepaskan tembakan dan membunuh enam orang dalam kejadian di Colorado.
Polis Colorado dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek dipercayai teman lelaki kepada seorang daripada mangsa turut membunuh dirinya dalam kejadian awal pagi semalam.
Polis yang tiba di tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan awal pagi dan menemui enam mayat dewasa dengan kesan tembakan dan seorang lelaki yang cedera parah.
Lelaki terbabit kemudiannya dikejarkan ke hospital berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia.
“Siasatan awal mendapati suspek, teman lelaki seorang daripada mangsa wanita memandu ke lokasi kejadian, masuk ke dalam kediaman terbabit dan melepaskan tembakan ke arah mangsa sebelum menembak mati dirinya.
“Punca dan motif kejadian masih dalam siasatan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, tiada kanak-kanak yang cedera dalam kejadian itu dan mereka kini dijaga oleh anggota keluarga manakala identiti mangsa masih belum dikenal pasti.
Ketua Polis Colorado Springs, Vince Niski, berkata pasukan penyiasat masih berada di lokasi kejadian.
“Kami masih terkejut dengan kejadian ini. Insiden ini adalah sesuatu yang diharap tidak berlaku dalam komuniti kita sendiri,” katanya.
Datuk Bandar Colorado Springs, John Suthers, pula berkata seluruh komuniti kini berkabung dengan insiden ganas yang tidak berperikemanusiaan itu
Sementara itu, Gabenor Jared Polis menyifatkan kejadian itu sebagai amat menyedihkan.
Insiden tembakan itu adalah kali ketiga berlaku di Colorado Springs sejak Oktober 2015, termasuk pembunuhan rambang ketika sambutan Halloween, iaitu serangan terhadap klinik Planned Parenthood pada November tahun sama.
Amerika Syarikat (AS) berdepan kejadian tembakan sejak beberapa minggu lalu, termasuk di bangunan FedEx di Indianapolis, bangunan pejabat di California, kedai runcit di Boulder serta beberapa lagi di sekitar Atlanta.
Malah, Presiden AS, Jos Biden pada bulan lalu menyifatkan keganasan bersenjata di negara itu sebagai epidemik dan memalukan.
Menurut Gun Violence Archive, lebih 43,000 kematian dikaitkan dengan senjata api dicatatkan di AS tahun lalu, termasuk kejadian membunuh diri. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian