Tun Arifin Zakaria Pengerusi PNB baharu

[email protected]

Kuala Lumpur: Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) mengumumkan pelantikan Tun Arifin Zakaria sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Pemegang Amanah YPB berkuat kuasa 6 Mei 2021.

YPB turut mengumumkan pelantikan Datin Norazah Razali ke Lembaga Pengarah PNB berkuat kuasa semalam.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, Lembaga Pengarah, pengurusan dan kakitangan PNB mengalu-alukan Arifin dan Norazah ke Lembaga Pengarah PNB.

“PNB teruja menantikan sumbangan mereka dalam mengawasi institusi dan aset yang diuruskan bagi pihak 14 juta rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Arifin adalah Ketua Hakim Negara antara tahun 2011 dan 2017 dan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya dari 2008 hingga 2011.

Sebelum itu, Arifin berkhidmat dalam pelbagai jawatan di Pejabat Kehakiman dan juga Jabatan Perundangan Kerajaan Malaysia.

Arifin mengikuti pengajian Undang-undang di University of Sheffield, United Kingdom (UK) dan mendapat ijazah Sarjana Undang-undang (LL.M) dari University College London, UK pada tahun yang sama beliau dipanggil ke English Bar.

Manakala, Norazah pula adalah Penasihat Kanan di Boston Consulting Group (BCG) yang berperanan menyokong dan menasihati perniagaan dan organisasi di seluruh Asia Tenggara.

Beliau membawa bersamanya lebih daripada 20 tahun pengalaman perundingan strategik dan pengurusan yang mengkhususkan dalam transformasi perniagaan dan organisasi, penstrukturan, strategi yang dipacu pertumbuhan, pengembangan bakat dan kepemimpinan, serta tadbir urus.

Norazah memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Sekolah Pengurusan, Imperial College London, UK.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.