‘Ubah cara hidup, empati tugas barisan hadapan’

[email protected]

KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu mengubah cara dan gaya hidup bagi mengekang penularan COVID-19 serta mempunyai empati terhadap beban tugas pekerja barisan hadapan yang semakin meningkat susulan kenaikan kes pandemik itu.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ia boleh dilakukan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), selain mengambil langkah bersungguh-sungguh untuk bekerjasama meratakan lengkuk jangkitan.

“Sudah tiba masanya kita mengubah gaya hidup dan berasa empati terhadap beban pekerja kesihatan yang berusaha keras memastikan keselamatan kita sedangkan mereka juga ada rakan dan keluarga.

“Dengan memainkan peranan masing-masing, saya yakin sekatan pergerakan penuh ini tidak dipanjangkan, malah ia membantu melegakan petugas barisan hadapan yang kini sudah agak keletihan.

“Wabak ini sebenarnya menyebabkan kita semua dalam keletihan serius. Kesihatan dan kesejahteraan negara bukan hanya bergantung pada pengorbanan petugas barisan hadapan tetapi tanggungjawab seluruh masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lam Thye berkata, ketika perayaan Aidilfitri lalu, kira-kira 200,000 orang dikesan merentasi sempadan dan negeri untuk pulang beraya, sekali gus melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa.

“Ini secara langsung menambah lonjakan kes COVID-19, selain orang ramai tidak mematuhi SOP di tempat awam,” katanya.

Lam Thye berkata, petugas kesihatan melakukan pelbagai pengorbanan termasuk menggadaikan nyawa sendiri demi memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit COVID-19.

“Perkhidmatan berdedikasi petugas barisan hadapan dibuktikan apabila kadar kematian negara terkawal, yang mana Malaysia mencatat kadar kesembuhan melebihi 85 peratus dengan kira-kira 0.5 kadar kematian yang kini sudah melebihi 2,500 orang.

“Kadar kematian global pula sebanyak 2.6 peratus dengan keseluruhan kes berjumlah 171 juta jangkitan, dengan 153 juta atau 89 peratus daripadanya sembuh,” katanya.

Beliau berkata, pengorbanan kesihatan itu diibaratkan wira dan wirawati tidak didendang yang berusaha keras sepanjang 14 bulan ini memastikan rakyat negara selamat, biarpun terpaksa mengorbankan aspek kesihatan dan kesejahteraan fizikal serta mental mereka.

“Mereka terpaksa bertugas tujuh hari seminggu, dalam kuarantin dan menangani pesakit yang sukar dengan pendekatan profesional dan sikap ceria.

“Sebilangan mereka tidak berpeluang menyambut Aidilfitri dengan keluarga dan meraikan perayaan lain seperti Krismas, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Vasakthi dan perayaan keagamaan lain,” katanya.

Katanya, kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab masyarakat mengakibatkan pekerja kesihatan menanggung bebannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.