Ugut bunuh bapa, lelaki dipenjara dua tahun

[email protected]

KOTA BHARU: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap bapanya di Kampung Tempoyak Kadok di sini, Mac lalu.

Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Tuan Mohamad Hafiz Tuan Haris, 24, mengaku bersalah atas tuduhan.

Sebaik pengakuan dibuat, tertuduh kelihatan sebak dan mengalirkan air mata.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd Amin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan bapanya, Tuan Haris Tuan Kub, 58, untuk membunuh mangsa.

Kesalahan itu dilakukan jam 11 pagi di sebuah rumah di Kampung Tempoyak, Kadok, di sini, pada 27 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Mengikut fakta kes, mangsa bergaduh dengan tertuduh di luar rumah kerana menasihati anaknya itu supaya tidak berkawan dengan orang tidak berfaedah, selain kerap meminta wang RM100 sehari daripada bapanya.

Tertuduh kemudian berang lalu memecahkan barangan dalam rumah dan mengugut untuk membunuh bapanya.

Mangsa yang takut kemudian membuat laporan polis.

Terdahulu, Sharifah Amirda Shasha memohon hukuman setimpal dikenakan supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat, manakala Ariyani memohon hukuman minimum dikenakan kerana tertuduh sudah insaf.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.