Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.
Categories
News

UNI-MLC gesa PKP menyeluruh di seluruh negara

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh di seluruh negara bagi mengekang lonjakan jangkitan dan kematian akibat COVID-19.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal, berkata kerajaan tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan PKP menyeluruh di seluruh negara seperti PKP pertama pada Mac tahun lalu bagi menyelamatkan rakyat.

Beliau berkata, majlis itu menghormati hujah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa sekatan menyeluruh tidak dapat dilaksanakan atas faktor ekonomi dan kedudukan kewangan negara, tetapi sudah tiba masanya kerajaan membuat kajian semula memandangkan keadaan semakin tenat.

“Berdasarkan PKP pertama, UNI-MLC yakin PKP menyeluruh boleh dilaksanakan. Rakyat dan kerajaan perlu melakukan pengorbanan dan sedikit ‘penjajaran’ dalam gaya hidup supaya dapat memainkan peranan mengekang kes baharu dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“UNI-MLC yakin rakyat akan menyokong tindakan ini dengan melakukan sedikit pengorbanan, yang akhirnya akan membantu mereka.

“Hanya benarkan industri penting seperti makanan dan minuman, kedai runcit dan pasar raya serta perubatan untuk beroperasi supaya tidak menjejaskan rantaian bekalan makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Shafie berkata, pihaknya memandang serius kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kelmarin, mengenai negara perlu membuat persediaan menghadapi keadaan paling buruk berikutan peningkatan kes sejak 1 April lalu.

Malah, beliau berkata, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba semalam, mendedahkan bilangan pesakit COVID-19 tahap empat dan lima meningkat 15 peratus, berbanding hanya lima peratus sebelum ini.

“Negeri merekodkan jumlah kes yang kecil atau sifar sebelum ini juga sudah merekodkan peningkatan bilangan kes dan perkembangan ini amat membimbangkan UNI-MLC, terutama dengan pertambahan kes membabitkan tempat kerja dan komuniti.

“Peningkatan antara minggu ke-17 hingga minggu ke-20 ini menunjukkan jumlah jangkitan baharu mencapai 8,000 kes dan mungkin terus bertambah, manakala kematian harian pula mencecah lebih 60 kes, iaitu tiga kali ganda, berbanding tempoh sama pada tahun lalu,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan wajar mengadakan pakej rangsangan terbaru bagi membantu rakyat yang terjejas.

“UNI-MLC merayu kerajaan untuk mempertimbangkan dengan mendalam gesaan ini bagi melihat perubahan dan impak menyeluruh dalam kadar segera,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Exit mobile version